Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jangan spekulasi, beri ruang pihak berkuasa siasat isu air Limbahau: Juil

PRIHATIN RAKYAT: Datuk Juil Nuatim menjawab pertanyaan media mengenai gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kampung di Limbahau.

PAPAR: Penduduk di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau turut terjejas akibat gangguan bekalan air sejak bulan lalu, yang dipercayai berkemungkinan melibatkan perbuatan sabotaj terhadap infrastruktur awam.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan terhadap dakwaan kemungkinan berlaku perbuatan khianat.

“Isu gangguan bekalan air ini menjejaskan ramai pengguna. Oleh itu, kita memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka DUN Limbahau sempena Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Biau, di sini.

Menurut Juil, berdasarkan maklumat awal, gangguan dikenal pasti melibatkan injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang membekalkan air ke beberapa kawasan.

Katanya, gangguan berkenaan dipercayai menyebabkan pengalihan bekalan air ke kawasan lain, sekali gus memburukkan lagi keadaan dan menjadikan bekalan ke kawasan terjejas semakin kritikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Juil memaklumkan bahawa sebuah pekan baharu akan dibangunkan di Kampung Gana dalam kawasan DUN Limbahau, meliputi keluasan kira-kira 200 ekar.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan antara inisiatif pembangunan yang dirancang bagi mengubah landskap kemajuan kawasan DUN Limbahau dan merancakkan pertumbuhan setempat.

Selain itu, katanya, pembinaan sebuah sekolah menengah turut dicadangkan bagi memenuhi keperluan pelajar di kawasan itu.

“Ketika ini, Limbahau mempunyai banyak sekolah rendah, namun hanya sebuah sekolah menengah mubaligh yang mampu menampung kira-kira 400 pelajar pada satu-satu masa, sedangkan permintaan amat tinggi.

“Akibatnya, ramai pelajar terpaksa melanjutkan pelajaran ke daerah Papar yang jaraknya jauh serta melibatkan kos pengangkutan yang tinggi,” katanya.

–TAMAT

Exit mobile version