Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jangan jadikan agama bahan gurauan berunsur seksual: Sim Fui

KEHARMONIAN: Sim Fui berkata keharmonian beragama bukan satu pilihan politik, sebaliknya prinsip asas yang mesti dipertahankan bersama oleh semua rakyat Malaysia.

KOTA KINABALU,:Agama dan kepercayaan mana-mana masyarakat tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka politik, khususnya gurauan berunsur seksual yang boleh menyinggung sensitiviti penganutnya.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui, berkata kontroversi membabitkan jenaka mengenai seorang paderi Katolik dan biarawati pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Kristian dan tidak seharusnya dipandang ringan.

Insiden berkenaan turut mendapat teguran beberapa pemimpin politik, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang agama, kaum dan budaya, justeru sensitiviti berkaitan kepercayaan perlu sentiasa dihormati.

“Di Sabah khususnya, masyarakat daripada pelbagai agama dan kaum telah sekian lama hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan harmoni. Nilai ini merupakan antara kekuatan paling berharga bagi Sabah.

“Dalam politik, kita boleh berbeza pandangan dan kita juga boleh bergurau. Namun agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka yang mempunyai unsur seksual atau boleh dianggap menghina sesuatu kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Sim Fui, yang juga Ketua Bahagian LDP Api-Api, berkata pendiriannya bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik, sebaliknya berasaskan prinsip saling menghormati yang perlu diterapkan secara adil kepada semua agama.

“Sekiranya jenaka yang sama dibuat terhadap agama kita sendiri, sudah tentu kita juga menganggapnya tidak wajar.

“Maka, standard penghormatan yang sama perlu diberikan kepada Kristian, Buddha, Hindu, Islam dan semua agama lain,” katanya.

Mengulas permohonan maaf individu terbabit, Sim Fui berkata perkara itu perlu dilihat sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila menyentuh soal agama dalam ucapan atau pentas politik.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli, dilaporkan memohon maaf selepas kontroversi itu tercetus dan mengakui kenyataannya boleh ditafsirkan secara berbeza serta menimbulkan salah faham dalam masyarakat berbilang agama.

Sim Fui berkata, rakyat Sabah amat menghargai keharmonian beragama yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat negeri ini dan nilai berkenaan perlu terus dipelihara.

“Rakyat Sabah amat menghargai keharmonian beragama. Apa yang kita mahu ialah saling menghormati, bukannya menggunakan agama dengan cara yang boleh mewujudkan lebih banyak perpecahan.

“Menghormati setiap agama bermakna menghormati setiap rakyat Malaysia. Keharmonian beragama bukan satu pilihan politik, tetapi prinsip asas yang mesti kita pertahankan bersama,” katanya.

Exit mobile version