Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jangan biar isu dokumentasi diwarisi anak-anak dan generasi seterusnya: Joachim

MAHKAMAH BERGERAK: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu sempena Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau, Jumaat.

RANAU:Pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan isu dokumentasi membabitkan penduduk yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap dan sah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata golongan berkenaan merupakan pihak paling hampir dengan masyarakat dan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk di kawasan masing-masing.

Menurutnya, Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Kapitan mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada pihak berkuasa, khususnya bagi kes yang memerlukan pengesahan latar belakang individu serta keluarga.

“Mereka merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat dan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk setempat,” katanya ketika menyempurnakan Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau, di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Joachim berharap Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah Ranau dapat memberi penekanan kepada Ketua-Ketua Adat supaya membantu mengenal pasti kes dokumentasi yang masih belum diselesaikan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan setiap pengesahan hendaklah dibuat secara jujur dan bertanggungjawab.

“Jika kamu benar-benar mengenali penduduk berkenaan dan keluarganya di kampung itu, bantulah mereka dalam urusan mendapatkan dokumen yang sah.

“Namun sekiranya individu berkenaan tidak dikenali dan kamu tidak mengetahui latar belakangnya, nyatakan dengan jujur bahawa kamu tidak mengenali mereka. Jangan sesekali memberikan pengesahan terhadap perkara yang kita sendiri tidak pasti,” tegasnya.

Beliau berkata, ketelitian itu penting bagi memastikan setiap permohonan dinilai berdasarkan maklumat yang tepat sebelum dipertimbangkan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Joachim berkata, antara faktor yang menyebabkan sesetengah penduduk masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap termasuk pendaftaran kelahiran lewat, perkahwinan campur antara penduduk tempatan dengan warga asing, ketiadaan dokumen pendaftaran perkahwinan serta kelewatan membuat kad pengenalan.

Menurutnya, masalah itu perlu ditangani seawal mungkin kerana kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit, malah boleh berlanjutan kepada anak-anak dan generasi seterusnya.

“Jangan kita biarkan masalah dokumentasi ini berlarutan sehingga akhirnya diwarisi oleh anak-anak dan generasi seterusnya.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara adil, telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan dokumen sah juga boleh menyebabkan anak-anak berdepan kesukaran mendapatkan akses pendidikan, melanjutkan pengajian, memperoleh pekerjaan serta menikmati bantuan dan kemudahan kerajaan yang layak diterima.

Justeru, Program Mahkamah Bergerak dilihat amat signifikan kerana membawa perkhidmatan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar yang berdepan kes dokumentasi berlarutan.

Dalam pada itu, Joachim menepis dakwaan bahawa Program Mahkamah Bergerak diwujudkan bagi memudahkan warga asing atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memperoleh dokumen pengenalan diri tanpa melalui proses yang sah.

Beliau menegaskan setiap permohonan tetap tertakluk kepada semakan, penelitian dan pengesahan ketat oleh agensi berkaitan.

“Tiada kelulusan diberikan secara sewenang-wenangnya tanpa bukti, dokumen sokongan dan pengesahan yang mencukupi.

“Program ini bukan bertujuan melonggarkan syarat, tetapi membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang tulen dan layak mengikut peruntukan undang-undang negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, khabar angin atau maklumat tidak sahih mengenai pelaksanaan program berkenaan.

Sebaliknya, semua pihak diminta memberi kerjasama kepada kerajaan, mahkamah dan agensi berkaitan supaya isu dokumentasi dapat diselesaikan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.

Joachim berkata, program berkenaan juga perlu dimanfaatkan sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menguruskan dokumen penting — termasuk pendaftaran kelahiran dan pengemaskinian maklumat — sejak awal bagi mengelakkan masalah lebih rumit pada masa hadapan.

Exit mobile version