Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Isu ‘Lost Years’ berasingan, rundingan 40 peratus tetap diteruskan

SAKSI: Masidi menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sylvester (duduk, kiri) dan Ling.

KOTA KINABALU: Rundingan antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan hasil 40 peratus terus berjalan dan tidak terjejas oleh keputusan terkini Mahkamah Rayuan, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.

Beliau menegaskan bahawa prosiding mahkamah dan rundingan semasa melibatkan dua perkara berasingan yang tidak saling mempengaruhi.

“Kes yang dibawa oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) hanya berkaitan ‘lost years’ atau tunggakan. Keputusan Mahkamah Rayuan hanya menyentuh perkara itu dan tidak melibatkan tuntutan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kinara Energy Sdn Bhd dan Dayang Enterprise Sdn Bhd, pada Rabu di sini.

Masidi berkata, kerajaan negeri kekal komited meneruskan rundingan bagi tuntutan semasa yang melibatkan hasil bagi tahun-tahun terkini.

“Saya tidak melihat rayuan itu menjejaskan rundingan kerana kedua-duanya adalah isu yang berbeza. Kita menghormati keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sebahagian daripada proses undang-undang,” katanya.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri sebelum ini membantah rayuan tersebut, Sabah tetap mengambil pendekatan rundingan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata garis masa rundingan kekal tidak berubah dan hanya isu ‘lost years’ terjejas oleh keputusan mahkamah.

“Apa yang terjejas hanyalah isu tunggakan. Rundingan bagi tuntutan semasa masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Masidi menjelaskan bahawa tuntutan semasa merujuk kepada hasil bagi tahun-tahun terkini, termasuk tahun semasa dan beberapa tahun sebelumnya mengikut skop yang dipersetujui.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah telah mengemukakan tuntutan tersebut kira-kira dua tahun lalu dan sejak itu menekankan keperluan menetapkan garis masa yang jelas bagi penyelesaian.

“Kita tidak boleh berunding tanpa had masa yang jelas,” tegasnya.

Mengenai perkembangan rundingan, beliau berkata isu utama ketika ini adalah kaedah pengiraan kadar 40 peratus, khususnya dalam menentukan komponen hasil yang perlu diambil kira.

“Ia memerlukan data menyeluruh mengenai hasil yang dikutip dari Sabah. Kita mencadangkan agar dimulakan dengan angka yang tidak dipertikaikan seperti data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai langkah praktikal untuk memulakan kemajuan rundingan, sementara perbincangan mengenai komponen yang lebih kompleks diteruskan.

“Kita masih menunggu maklum balas terhadap cadangan ini,” katanya.

Masidi turut menjelaskan bahawa tempoh 180 hari yang sering dirujuk hanya terpakai kepada kes mahkamah berkaitan ‘lost years’ dan tidak melibatkan rundingan semasa.

Ditanya sama ada sebarang angka telah dipersetujui, beliau berkata setakat ini tiada persetujuan dicapai.

“Kalau sudah ada angka yang dipersetujui, saya sudah umumkan,” katanya.

Mengenai jangka masa penyelesaian, beliau berkata walaupun sukar ditentukan, rundingan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa had.

“Perlu ada garis masa yang jelas, jika tidak rundingan boleh berlarutan tanpa penghujung,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar isu berkenaan dapat diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang, namun menegaskan komitmen kedua-dua pihak amat penting.

“Rundingan memerlukan kerjasama kedua-dua pihak — ibarat it takes two to tango. Menetapkan tempoh secara sebelah pihak tidak akan membantu,” katanya.

Masidi berkata, sekiranya tiada persetujuan dicapai, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan penilai bebas bagi menentukan kelayakan Sabah.

“Kita memahami kekangan kewangan Kerajaan Persekutuan, namun pendekatan munasabah ialah bermula dengan angka hasil yang tidak dipertikaikan. Kita bersikap praktikal dan berharap sekurang-kurangnya penyelesaian awal dapat dicapai supaya kemajuan dapat diteruskan,” katanya.

Exit mobile version