Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Isu asas pedalaman perlu tindakan segera : Abdul Ghani

DUN:Abdul Ghani ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin menggesa kerajaan memberi perhatian segera terhadap pelbagai isu asas yang masih membelenggu rakyat di kawasan pedalaman, khususnya di Nabawan.

Beliau berkata, keperluan asas rakyat seperti pemilikan tanah, infrastruktur serta kemudahan asas tidak boleh terus ditangguhkan.

“Jika kita benar-benar mendengar denyut nadi rakyat di luar dewan ini, kita akan sedar masih banyak perkara asas yang perlu diberi perhatian segera, bukan esok atau lusa, tetapi hari ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Mengulas isu pemilikan tanah, Abdul Ghani berkata masih ramai penduduk di Nabawan yang telah mengusahakan tanah selama puluhan tahun namun belum memiliki geran sah.

“Mereka hidup dalam ketidakpastian, bimbang disingkirkan dan risau masa depan anak-anak. Persoalannya, sampai bila mereka perlu menunggu?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar proses pengukuran, pengesahan dan pemberian geran tanah dipercepatkan secara menyeluruh serta adil.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu berkaitan bantuan dan subsidi pertanian, termasuk kes sebahagian penduduk di Skim Tanah Nabawan yang didakwa tidak menerima bantuan atau dihentikan tanpa penjelasan.

Menyentuh isu infrastruktur, beliau berkata masalah sistem saliran tidak sempurna, sungai cetek serta kejadian runtuhan tanah terus berulang setiap kali musim tengkujuh, sekali gus menyebabkan banjir, jalan terputus dan menjejaskan kehidupan harian penduduk.

“Ini bukan isu baharu, tetapi isu berulang yang memerlukan tindakan tuntas termasuk kerja pendalaman, pembersihan dan pelurusan sungai serta naik taraf sistem perparitan secara berjadual,” katanya.

Beliau turut meminta agar laluan jalan yang terputus akibat hakisan dan runtuhan tanah dibaiki segera oleh pihak berkaitan termasuk syarikat konsesi.

Dalam pada itu, Abdul Ghani menegaskan keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan asas luar bandar seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

Katanya, masih banyak jalan pertanian dan laluan bekas balak di Nabawan yang menjadi laluan utama penduduk tetapi belum dinaik taraf.

“Bilakah jalan-jalan ini akan dinaik taraf dan apakah status pewartaan jalan dalam kawasan hutan simpan di Nabawan?” katanya.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan projek bekalan tenaga alternatif seperti solar di kawasan terpencil serta memperluaskan sistem bekalan air bersih melalui kaedah graviti dan telaga tiub.

Dalam sektor pertanian, beliau menekankan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan dengan memberi fokus kepada tanaman padi serta pembangunan rantaian nilai hiliran.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada hasil mentah semata-mata. Sudah tiba masanya kita memperkasa sektor hiliran bagi meningkatkan nilai tambah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkukuh sokongan kepada agensi pertanian serta menggalakkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun.

Menyentuh pembangunan modal insan, Abdul Ghani berkata kawasan pedalaman masih berdepan cabaran besar dari segi akses kepada pendidikan berkualiti, latihan kemahiran serta pendedahan digital.

Katanya, jurang antara bandar dan luar bandar menyebabkan ramai belia tidak berpeluang menguasai kemahiran TVET dan teknologi semasa, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan.

“Ramai yang akhirnya berhijrah ke bandar atau terperangkap dalam pekerjaan berpendapatan rendah, sekali gus menjejaskan pembangunan setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru usaha menyeluruh diperkasa bagi meningkatkan kemahiran, memperluas sokongan keusahawanan serta memperkukuh ekonomi tempatan secara mampan.

Exit mobile version