KOTA KINABALU: Ketua Wanita Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), Glenna Wong menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun yang menegaskan bahawa Sabah wajar menerima hak hasil 40 peratus yang telah lama tertangguh.
Beliau berkata, isu tersebut tidak seharusnya terus dilengahkan atas alasan teknikal, sebaliknya memerlukan penyelesaian yang nyata dan berkesan dalam tempoh yang munasabah.
Menurutnya, walaupun terdapat penangguhan pelaksanaan susulan keputusan mahkamah, rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan seiring dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
“Apa yang disebut sebagai ‘penangguhan pelaksanaan’ tidak bermaksud menghentikan semua tindakan. Dalam kerangka institusi dan perundangan sedia ada, kedua-dua pihak perlu menunjukkan keikhlasan politik melalui dialog dan rundingan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Glenna yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita GRS berkata, pelaksanaan hak 40 peratus bukan sekadar isu perundangan, tetapi melibatkan soal keadilan serta kepercayaan rakyat terhadap sistem.
“Kelewatan hanya akan melemahkan keyakinan rakyat. Sabah sebagai negeri penyumbang sumber masih berdepan cabaran seperti kekurangan infrastruktur, kos sara hidup tinggi serta faktor geografi.
“Dalam konteks ini, pelaksanaan hak hasil 40 peratus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan wilayah yang lebih seimbang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu subsidi diesel.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak sebagai negeri pengeluar sumber tenaga utama berhak menerima pulangan yang setimpal, dan perkara itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai agenda politik.
Selain itu, Glenna turut menyokong cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah bagi mencerminkan realiti semasa negeri itu.
Katanya, dengan pertambahan populasi serta keperluan pembangunan yang semakin meningkat, jumlah kerusi sedia ada tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar Sabah.
“Penambahan kerusi bukan sahaja memperkukuh keupayaan dalam menyuarakan dasar dan memperjuangkan peruntukan, malah membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan wanita dalam pentadbiran negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan agar memandang serius harapan rakyat Sabah dan mengambil pendekatan lebih proaktif serta pragmatik dalam menangani isu berkenaan.
“Hanya dengan menghentikan penangguhan yang tidak perlu, prinsip keadilan dapat direalisasikan, keyakinan dapat dipulihkan dan pembangunan negara dapat bergerak ke arah yang lebih seimbang serta mampan,” katanya.

