KOTA KINABALU: Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Sabah manakala enam ADUN Dilantik menerima watikah pelantikan dalam satu istiadat rasmi di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Upacara penuh istiadat itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri.
Pelantikan berkenaan melibatkan wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta ADUN Bebas, selaras dengan pembentukan Kabinet Negeri Sabah yang baharu bagi penggal pentadbiran terkini.
Antara yang mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah; ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; ADUN Labuk, Datuk Samad Jambri; ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding dan ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum.
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong; ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal; ADUN Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap; ADUN Tanjung Batu, Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal; ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron; serta ADUN Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub.
Dalam majlis sama, enam ADUN Dilantik menerima watikah pelantikan masing-masing, iaitu Datuk Mohamed Razali Mohamad Razi; Datuk Haji Abdul Kassim Razali; Datuk Chin Shu Ying; Datuk Ceasar Mandela Malakun; bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin; serta Grace Lee Li Mei.
Pelantikan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkukuh jentera pentadbiran serta memastikan kesinambungan pelaksanaan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan GRS .
— TAMAT

