TONGOD: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh institusi Adat Anak Negeri menerusi pembangunan infrastruktur serta penambahbaikan sistem pentadbiran adat selaras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha berkenaan dilaksanakan melalui pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri di beberapa daerah termasuk Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook.
Menurutnya, beberapa projek baharu turut berada dalam proses tender di Kota Kinabalu dan Paitan sebagai kesinambungan usaha memperkasa institusi berkenaan di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan fizikal, malah turut menitikberatkan pengukuhan institusi rakyat termasuk Mahkamah Anak Negeri sebagai wadah penting dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Usaha ini perlu diteruskan dengan memastikan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri lebih jelas, sistem pentadbiran lebih mantap serta disokong pegawai yang berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod di Pekan Tongod pada Rabu.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta pemimpin tempatan.
Hajiji berkata, penambahbaikan prosedur pentadbiran adat yang lebih moden dan tersusun juga perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta memenuhi keperluan semasa.
Katanya, kerajaan negeri turut menghargai peranan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta seluruh warga Mahkamah Anak Negeri yang menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Mereka memainkan peranan besar dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, khususnya di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian kaum, adat dan budaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah menjadi simbol komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa institusi adat Anak Negeri.
Katanya, bangunan yang mula beroperasi awal tahun ini dijangka meningkatkan kecekapan sistem kehakiman adat serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat di daerah berkenaan.
“Institusi adat tidak boleh dilihat sekadar warisan lama, tetapi perlu terus diperkukuh sebagai institusi yang relevan dalam menjaga keharmonian masyarakat, menyelesaikan pertikaian adat serta memperkukuh kestabilan sosial negeri,” katanya.
Mengulas pembangunan Tongod, Hajiji berkata daerah itu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekopelancongan selain kekayaan alam semula jadi termasuk hutan tropika dan biodiversiti unik.
Menurutnya, kawasan seperti Imbak Canyon berpotensi menjadi tarikan pelancongan utama sekali gus mampu menjana ekonomi penduduk setempat.
Beliau turut optimis Tongod mampu mengalami transformasi pembangunan sekiranya cadangan pembangunan pekan baharu seluas 1,000 ekar menerusi kerjasama kerajaan negeri dan pihak swasta dapat direalisasikan.

