Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Insentif pembakar semangat atlet Sabah ke pentas antarabangsa

INSENTIF: Hajiji bersama tetamu kehormat merakamkan kenangan bersama atlet Sabah yang menerima insentif kemenangan pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM383,116 kepada atlet Sabah yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Ke-33 dan Sukan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung di Thailand tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pemberian insentif itu diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet Sabah untuk terus melakar kejayaan lebih besar di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai hari ini tidak seharusnya menjadi noktah, sebaliknya dijadikan titik tolak untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian semua atlet Sabah yang mewakili negara dan berjaya menyumbang pingat di pentas antarabangsa.

“Kepada para jurulatih dan keluarga atlet, sokongan anda semua merupakan tunjang utama kepada kejayaan yang diraih,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Sabah di sini, pada Selasa.

Seramai 91 atlet Sabah mewakili negara pada Sukan SEA Ke-33 dan berjaya membantu kontinjen Malaysia meraih lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.

Bagi temasya Sukan Para ASEAN Ke-13 pula, seramai 22 atlet Sabah dipilih mewakili negara dan berjaya menyumbang 14 pingat emas, sembilan perak serta empat gangsa.

Daripada jumlah keseluruhan insentif itu, sebanyak RM146,500 diperuntukkan kepada pemenang pingat Sukan SEA, manakala RM236,616 diberikan kepada atlet Para ASEAN.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet para Sabah iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga Ivan Jovic Suan yang muncul antara penyumbang utama pingat negara pada temasya Para ASEAN.

Menurut beliau, Abdul Halim mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih lima pingat emas dalam acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan.

Katanya, Abdul Halim yang turut dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia sempena Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merupakan penerima insentif terbesar pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Ivan Jovic Suan pula mencuri perhatian apabila berjaya memenangi tiga pingat emas serta mencipta satu rekod baharu dalam acara pecut walaupun baru berusia 18 tahun.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus menyediakan peruntukan besar dan konsisten bagi memperkasa pembangunan sukan di Sabah termasuk penyediaan prasarana sukan moden dan selamat untuk kegunaan atlet.

“Menerusi dasar sukan yang dirancang, kerajaan komited membentuk budaya sukan serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat dengan memberi peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

“Saya percaya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di bawah pimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersama Datuk Seri Dr Anil Sandhu akan terus merangka pembangunan sukan yang lebih komprehensif demi kemajuan sukan Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan prestasi sukan ke tahap lebih tinggi termasuk di arena antarabangsa.

Exit mobile version