KOTA MARUDU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding, menegaskan komitmennya untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan diwakilinya.
Menurut Hendrus, beliau sentiasa terbuka menerima kunjungan penduduk di Pejabat Perhubungan Parti Bersatu Sabah (PBS) N.7 Tandek bagi mendengar sendiri aduan dan keperluan rakyat.
“Setiap pagi saya berusaha meluangkan masa di pejabat untuk berjumpa rakyat yang datang berurusan atau sekadar ingin berbincang tentang isu di kampung masing-masing. Perkhidmatan kepada rakyat mesti diteruskan tanpa mengira masa,” katanya dalam sebuah kenyataan facebook baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan sumbangan jersi kepada pasukan tarik tali Kampung Piso untuk digunakan dalam kejohanan di peringkat kampung, daerah mahupun negeri.
Katanya, sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada aktiviti sukan tradisional yang masih mendapat sambutan di kawasan luar bandar.
“Saya mahu anak muda terus aktif dan bersatu melalui kegiatan sukan seperti tarik tali yang bukan sahaja memupuk semangat kerjasama, tetapi juga memperkukuh hubungan komuniti kampung,” katanya.
Hendrus yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek menegaskan bahawa beliau akan terus bekerja untuk rakyat dan memastikan semua lapisan masyarakat menerima manfaat daripada pembangunan yang dibawa kerajaan negeri.
“Tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan hanya di musim pilihan raya, tetapi amanah berterusan untuk berkhidmat kepada semua. Semoga Tuhan terus memberkati seluruh rakyat Tandek,” katanya.
— TAMAT

