TAWAU: Kumpulan Sawit Kinabalu terus mempergiat penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam operasi perladangan menerusi lawatan kerja Pengerusinya, Datuk Hazem Mubarak ke Kompleks Balung, di sini, baru-baru ini.
Lawatan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Suku Tahunan (QMCM) itu memberi tumpuan kepada penilaian pelaksanaan teknologi terkini di lapangan, termasuk penggunaan jentera moden dalam aktiviti penuaian dan pembajaan.
Antara yang diketengahkan ialah penggunaan jentera ‘Elit’ berkuasa bateri yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, selaras dengan aspirasi kelestarian dan tenaga hijau.
Selain itu, teknologi ‘Verion’ yang dilengkapi sistem GPS serta kawalan elektrohidraulik turut diperkenalkan bagi memastikan ketepatan pembajaan, sekali gus meningkatkan hasil serta kualiti tanaman secara menyeluruh.
Dalam lawatan tersebut, Hazem turut meninjau Tapak Semaian Sungai Balung bagi melihat perkembangan anak benih serta memastikan amalan pengurusan ladang mematuhi piawaian ditetapkan.
Beliau turut melawat Sawit Kinabalu Livestock Integrated Center (SKLIC) yang mengintegrasikan sektor ternakan dengan perladangan sawit, sebagai sebahagian usaha menyokong keterjaminan bekalan makanan negara.
Lawatan turut merangkumi kilang pemprosesan sawit di Apas Balung serta Seeds Production Unit (SPU), yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran dan penyediaan benih berkualiti tinggi.
Pada sebelah petang, beliau menghadiri Majlis Silaturahim Aidilfitri Wilayah Tawau, sekali gus mengeratkan hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kerja. Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Sawit Kinabalu dalam memodenkan sektor perladangan melalui inovasi teknologi, kecekapan operasi serta amalan mampan bagi memastikan daya saing industri sawit Sabah terus kukuh.

