Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hari keputeraan ke-80 Sultan Brunei : Hajiji dan TYT Sabah hadir memperkukuh hubungan dua negeri

MENGADAP: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ketika mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman pada Majlis Mengadap di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, pada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman, di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, bersama isteri, Datin Hajah Siti Yuslaini Mohd Samsuri.

Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji dan isteri merupakan antara tetamu kenamaan yang menghadiri Majlis Istiadat Barisan Kehormatan sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

ISTIADAT DIRAJA: Hajiji mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menghadiri Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei di Istana Nurul Iman dalam rangkaian istiadat rasmi sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei Darussalam.

Beliau kemudiannya menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sepanjang lawatan rasmi ke Brunei Darussalam, Hajiji turut menghadiri beberapa acara istiadat yang diatur sempena sambutan berkenaan, termasuk Majlis Persantapan Diraja sempena Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei yang berlangsung pada Khamis malam.

Hajiji dan isteri tiba di Brunei Darussalam pada Selasa bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam siri istiadat rasmi tersebut, sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta kerjasama berterusan antara Sabah dan Brunei Darussalam.

Exit mobile version