RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim selama sembilan hari itu melibatkan 17 jenis barangan terkawal merangkumi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 jenis barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, pelaksanaan skim tersebut mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga supaya rakyat dapat menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu panjang.
“Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, kementerian mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada tahun lalu.
“Dua barangan baharu yang dimasukkan ialah halia tua import dan ubi kentang dari China,” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Kundasang, pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi sambutan Hari Gawai di Sarawak pula, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 pada tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.
Katanya, penentuan jenis barangan dan harga maksimum dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan berkaitan serta pemain industri.
“Antara barangan dikawal di Sabah ialah babi hidup, daging babi, daging kerbau import, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang dari China.
“Di Labuan pula, 11 jenis barangan disenaraikan termasuk daging babi, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang,” katanya.
Mengulas trend harga semasa, Armizan berkata pelaksanaan SHMMP tahun ini menunjukkan keadaan harga yang lebih stabil di Sabah dan Labuan.
“Di Sabah, enam barangan mencatat penurunan harga manakala tiga lagi kekal pada kadar sama selain pengenalan dua barangan baharu.
“Trend hampir sama turut direkodkan di Labuan apabila enam barangan mengalami penurunan harga dan dua lagi kekal,” katanya.
Beliau berkata, bagi sambutan Hari Gawai di Sarawak pula, antara barangan dikawal termasuk ayam tua hidup, kubis bulat import, kelapa biji, kelapa parut dan santan.
Katanya, analisis harga bagi sambutan Hari Gawai tahun ini menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga, tiga kekal dan satu barangan baharu diperkenalkan.
Menurutnya, skim itu dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membolehkan penetapan harga maksimum terhadap barangan yang disenaraikan.
“Pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan harga.
“Kita juga melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah melalui pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan label merah jambu bagi semua barangan harga terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
“Individu yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 manakala syarikat sehingga RM20,000,” katanya.
Armizan berkata, KPDN akan terus bekerjasama dengan KPKM dan pemain industri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan selain menangani isu harga dan kos sara hidup rakyat.
Selain SHMMP, katanya, kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert.

