Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hak 40 peratus, tambah kerusi Parlimen bukan isu politik kepartian

TEGAS: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah merangkap ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah menegaskan perjuangan hak 40 peratus serta usaha memperkukuh perwakilan Sabah di Parlimen perlu mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

KOTA KINABALU:Perjuangan mendapatkan hak 40 peratus Sabah serta penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu mendapat sokongan semua pihak kerana kedua-dua perkara itu melangkaui kepentingan politik kepartian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata perkara berkenaan membabitkan kepentingan dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan, justeru tidak seharusnya dijadikan bahan percaturan politik.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah membawa pendirian Sabah secara tegas pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu pada 11 September lalu.

Menurutnya, antara perkara yang ditegaskan ialah keperluan menyegerakan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus Sabah serta memperkukuh perwakilan Sabah di Dewan Rakyat.

Masiung, yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata beliau mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah berkaitan pindaan Perlembagaan bagi membuka ruang kepada penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

“Rakyat Sabah sudah lama menunggu perkara-perkara ini dilaksanakan. Ia bukan soal parti mana yang mendapat manfaat kerana akhirnya semua rakyat Sabah, termasuk pihak pembangkang, turut mendapat manfaat.

“Penambahan kerusi perlu bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai perwakilan yang lebih kukuh di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Masiung berkata, usaha memperkukuh perwakilan Sabah dan Sarawak perlu mendapat sokongan seluruh rakyat, termasuk aspirasi supaya kedua-dua wilayah secara kolektif mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara itu penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat pembentukan Malaysia pada 1963.

“Ketika ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Masiung menegaskan bayaran RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan adalah pemberian khas interim dan tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian kepada tuntutan hak 40 peratus Sabah.

Beliau berkata, atas sebab itu, Hajiji terus membawa pendirian Kerajaan Negeri supaya penyelesaian berhubung hak berkenaan disegerakan menerusi rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendekatan rundingan dan diplomasi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu diteruskan kerana ia mampu membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih konstruktif.

“Rundingan secara diplomasi jauh lebih berkesan berbanding pendekatan konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan antara Sabah dan Putrajaya,” katanya.

Masiung berkata, perjuangan mengenai hak Sabah harus dilihat sebagai agenda bersama rakyat negeri ini, bukannya isu yang hanya diperjuangkan oleh kerajaan atau mana-mana parti politik.

Exit mobile version