KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri atas pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Kamil Misuari yang meninggal dunia pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, Hajiji berkata beliau amat berdukacita menerima berita pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga serta mereka yang mengenali beliau.
Allahyarham Datuk Kamil yang berasal dari Lahad Datu merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada Allahyarham Haji Misuari Ariff dan Allahyarhamah Hajah Frika Abaka.
“Saya merakamkan rasa simpati dan dukacita kepada YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan tersayang.
“Semoga YB Dato’ Sri Nancy dan keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.
Hajiji turut mendoakan agar roh Allahyarham Datuk Kamil dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan beliau dalam syurga-Nya yang luas,” katanya. Allahyarham Datuk Kamil menghembuskan nafas terakhir pada Khamis dan akan dikebumikan di Kuching, Sarawak.

