Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hajiji turun padang, salur bantuan segera kepada mangsa kebakaran

TAKLIMAT:Hajiji mendengar taklimat semasa lawatan ke lokasi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.

SANDAKAN: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa yang terjejas dalam kebakaran yang disifatkan antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan penempatan berkenaan.

“Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.

“Kebakaran ini melibatkan kemusnahan yang besar dengan hampir 1,000 rumah musnah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan di Dewan PPR Batu Sapi, di sini, Isnin.

TINJAU:Hajiji meninjau kawasan terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan hampir 1,000 rumah.

Menurutnya, sebagai bantuan permulaan, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sebanyak RM2,000 yang merangkumi bantuan khas RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

TURUN PADANG:Hajiji turun padang melihat sendiri keadaan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia.

Hajiji berkata, tahap kemusnahan di kawasan itu amat besar dengan hampir keseluruhan penempatan musnah sepenuhnya.

Beliau menjelaskan kawasan berkenaan sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah UNHCR, namun telah dikosongkan dan kerajaan bercadang membangunkannya sebagai penempatan sah untuk Kampung Bahagia.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan laporan lengkap mengenai jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kira-kira 70 peratus mangsa adalah bukan warganegara, manakala selebihnya warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bantuan akan terus disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.

Mengulas perancangan pembangunan semula, Hajiji berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk kerja penambakan kawasan bagi tujuan pembinaan semula perumahan.

PRIHATIN:Hajiji menyantuni mangsa kebakaran ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Sapi.

“Cadangan ini memerlukan kos yang besar, justeru kita akan meneliti secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita akan meneliti semua cadangan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk membantu mangsa serta mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Exit mobile version