Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hajiji tegas dakwaan penyerahan tanah Sebatik kepada Indonesia tidak benar

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir sempena Majlis Kesyukuran & Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri YBhg Datuk Hj Abdul Hakim Bin Hj Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu pada Khamis.

LAHAD DATU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menafikan dakwaan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia seperti dilaporkan oleh beberapa media negara jiran.

Beliau menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar hasil rundingan antara Malaysia dan Indonesia.

“Dakwaan itu tidak betul. Siapa yang mengatakan kawasan itu diserahkan? Itu tidak benar.

“Sebenarnya Malaysia memperoleh manfaat daripada rundingan ini, namun perkara berkenaan tidak boleh diperincikan secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, perbincangan berkaitan sempadan melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara, termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Perkara ini melibatkan hubungan diplomatik antara negara, justeru ia tidak boleh diperincikan secara terbuka. Apa yang penting, Malaysia sebenarnya mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan majlis Aidilfitri berkenaan sebagai platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari menyatakan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia telah disahkan sebagai milik Indonesia susulan pemuktamadan proses penetapan sempadan darat.

Menurut laporan tersebut, penyelesaian berkenaan dicapai menerusi diplomasi damai antara kedua-dua negara bagi memperjelaskan garis sempadan rasmi. Bagaimanapun, laporan sama turut menyebut pelarasan sempadan itu melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia apabila kira-kira 4.9 hektar kawasan negara itu dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.

Exit mobile version