Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hajiji seru GRS terus bersatu hadapi cabaran politik

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat bergambar bersama pemimpin dan perwakilan parti selepas selesai Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan supaya terus memperkukuh semangat perjuangan dan kekuatan gabungan itu meskipun berdepan pelbagai cabaran serta ranjau politik sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan GRS lahir daripada aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan tempatan yang mampu menentukan hala tuju negeri secara bebas tanpa bergantung kepada percaturan politik luar.

Beliau berkata, Sabah ketika itu memerlukan satu kekuatan politik tempatan yang mampu bersuara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat negeri ini dengan lebih berani serta bermaruah.

“Daripada perjuangan itulah lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat berkata, perjalanan politik gabungan itu tidak pernah sunyi daripada cabaran termasuk tindakan beberapa pemimpin yang memilih haluan berbeza apabila menjelang pilihan raya.

Menurut beliau, keadaan tersebut menjadi pengajaran besar kepada kepimpinan GRS dalam memperkukuh kestabilan kerajaan negeri serta memastikan perjuangan parti tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.

“Ada yang dahulu paling lantang bercakap tentang penyatuan parti tempatan dan perjuangan Sabah untuk rakyat Sabah, namun apabila tiba musim ujian, ada yang memilih untuk keluar, bergerak solo atau meninggalkan perjuangan kerana jawatan yang tidak diperoleh.

“Kita hormati keputusan mereka, namun rakyat boleh melihat sendiri siapa yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa setiap cabaran yang dihadapi seharusnya menjadikan GRS lebih matang, tersusun dan bersatu dalam mempertahankan kestabilan politik negeri.

Katanya, kekuatan Sabah tidak akan dapat dibina melalui perpecahan atau ego politik, sebaliknya memerlukan perpaduan dan kesediaan mengetepikan kepentingan peribadi demi masa depan negeri.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan pemimpin politik supaya tidak terlalu sibuk bersaing dalam retorik politik semata-mata kerana rakyat lebih menilai kemampuan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Apa yang rakyat mahukan ialah kestabilan, peluang ekonomi dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Itulah ukuran politik sebenar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran negeri dalam keadaan mencabar ketika ekonomi terkesan akibat pandemik COVID-19, ketidaktentuan politik serta pelbagai isu pembangunan yang tertangguh.

Namun katanya, kerajaan negeri memilih untuk bekerja dan memperkukuh pentadbiran melalui pendekatan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan memberi tumpuan kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan pembangunan jangka panjang negeri. “Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan, sebaliknya membina perubahan itu melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang dapat dirasai rakyat,” katanya.

Exit mobile version