KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan media Sabah dalam satu majlis yang berlangsung di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Sabtu.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 200 pengamal media, termasuk Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Mariah Doksil; Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Datuk Jimmy Goh; serta ketua-ketua pengarang dan ketua biro pelbagai agensi media.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar; serta ketua-ketua jabatan.
Dalam ucapan alu-aluan mewakili Ketua Menteri, Pengarah Media dan Komunikasi di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong, merakamkan penghargaan atas komitmen serta dedikasi rakan-rakan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Beliau berkata media memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, bukan sahaja dalam menyampaikan dasar kerajaan dengan jelas, malah membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa.
“Kami menghargai peranan media dalam menyampaikan dasar kerajaan secara tepat, di samping menyalurkan pandangan rakyat untuk tindakan pihak berkaitan,” katanya.
Menurutnya, walaupun dunia media kini menuntut kepantasan, aspek ketepatan tidak boleh diketepikan, terutama dalam era lambakan maklumat.
“Media yang efektif adalah media yang menyampaikan berita sahih dan menjadi rujukan utama masyarakat dalam membentuk pemahaman yang tepat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pejabat Media dan Komunikasi akan terus memastikan maklumat berkaitan kerajaan negeri dan Ketua Menteri disampaikan kepada pihak media dengan cepat dan tepat. “Kerjasama antara pihak kerajaan dan media akan terus diperkukuh demi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat berjalan lancar dan berkesan,” katanya.

