KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengetuai delegasi Sabah menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI 2026 selama dua hari yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bangi, Selangor, bermula Sabtu.
Turut menyertai delegasi Sabah ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ariffin Arif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat pada hari pertama permukiman yang menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memperkukuh penyelarasan dasar, hala tuju pembangunan serta agenda Kerajaan MADANI bagi tahun 2026.
Pada hari kedua, Hajiji membentangkan kertas perbincangan berkaitan isu-isu semasa yang menjadi kepentingan rakyat dari perspektif Sabah, termasuk aspek pembangunan, tadbir urus dan kesejahteraan rakyat. Permukiman itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; serta Menteri-Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Amiruddin Shari (Selangor), Dato’ Sri DiRaja Haji Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Dato’ Onn Hafiz Ghazi (Johor) dan Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak), selain semua menteri Kabinet Persekutuan.
–TAMAT

