Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Hajiji: Kemenangan ini kemenangan rakyat Sabah

Hajiji angkat sumpah ketua menteri Sabah penggal ke-2

KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas mandat yang diberikan rakyat, sambil menegaskan bahawa kemenangan GRS pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 adalah kemenangan milik seluruh rakyat Sabah.

Menurut Hajiji, sokongan yang diterima merupakan manifestasi kepercayaan rakyat terhadap visi, agenda dan iltizam GRS dalam membina masa depan negeri yang lebih cerah, stabil dan sejahtera.

“Terima kasih atas amanah ini. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat. Ia milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan penuh kesyukuran, GRS menerima kepercayaan rakyat untuk sekali lagi diberi tanggungjawab menerajui Kerajaan Negeri dan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, sokongan padu dan keyakinan berterusan rakyat terhadap perjuangan GRS menjadi pemangkin utama kepada kejayaan tersebut, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan pembangunan Sabah.

“Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada satu bab baharu, dengan semangat yang diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa sejak awal penubuhan, GRS komited membawakan agenda perubahan dan kemajuan melalui pelan pembangunan holistik dan inklusif di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, kesinambungan pelaksanaan SMJ 2.0 akan terus diberi keutamaan, dengan tumpuan kepada empat tonggak utama iaitu Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United).

“Kita akan terus menggerakkan pembangunan yang bermakna dan membina jambatan perpaduan, bukannya jurang perpecahan. Keutamaan kita adalah kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan GRS akan bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua lapisan masyarakat Sabah, sambil memastikan setiap suara rakyat didengari dan dihargai dalam sistem pentadbiran negeri.

“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan melangkah ke hadapan dengan perpaduan sebagai kekuatan kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hajiji mengajak semua pihak termasuk lawan politik untuk merapatkan saf dan meraikan semangat demokrasi, demi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan secara berkesan dan inklusif.

“Kepada semua pihak yang telah bertanding dalam pilihan raya ini, marilah kita bersatu padu, membina kepercayaan dan bekerjasama secara kolaboratif demi kebaikan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version