KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen (MP) Sabah bagi membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada rakyat, di Sri Gaya, di sini, malam Khamis.
Hajiji berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk bertukar pandangan serta menyelaraskan hal ehwal pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya berkaitan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya telah mengambil maklum pandangan, maklum balas serta cadangan mereka mengenai perkara-perkara yang memberi kesan kepada rakyat di bawah bidang kuasa negeri dan Persekutuan.
“Kami juga membincangkan perkara-perkara pentadbiran yang berkaitan dengan pihak berkuasa daerah dan tempatan,” katanya.
Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Lo Su Fui (Tawau) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Riduan Rubin (Tenom). Pertemuan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kerjasama dengan wakil rakyat Persekutuan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan, pelaksanaan dasar serta pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan tersusun.
–TAMAT
