KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu kini bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Sabah dan destinasi pendakian tersohor dunia, tetapi turut mencipta sejarah baharu apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 gunung itu,diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan rasmi itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort pada Isnin.

Dalam ucapannya, Hajiji menyifatkan pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian fizikal, tetapi juga simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek unik dan bermakna.
“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya.
Katanya, pemasangan monumen kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana ia membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat semasa menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.
“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular di kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran.
Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna,” ujarnya.
Menurut Hajiji, monumen berkenaan dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu – menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa, bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, disusuli kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah
serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Turut terlibat dalam projek ini ialah Taman-Taman Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Ketua Menteri, polis, bomba, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol.
“Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta satu kejayaan besar. Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” kata Hajiji.
Menurutnya, kewujudan monumen ini turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim di rantau ini, di samping memperkasakan ilmu falak dalam masyarakat.
“Pelancong Muslim kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekali gus membuktikan sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Beliau yakin, pendekatan sebegini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha menggabungkan pembangunan fizikal dan rohani secara seimbang.
Hajiji menegaskan, pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama.
“Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah. Ia simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegasnya.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong inisiatif berteraskan keagamaan, ilmu dan inovasi seiring aspirasi Sabah Maju Jaya, yang membangunkan rakyat bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga nilai dan akhlak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah, pasukan teknikal serta semua agensi dan rakan strategik yang menjayakan projek bersejarah itu sehingga diiktiraf oleh MBOR.
— TAMAT
