TAWAU: Rakyat diseru mengamalkan gaya hidup berjimat cermat, khususnya dalam penggunaan tenaga dan bahan api susulan peningkatan harga minyak di pasaran global ketika ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata langkah kerajaan mengekalkan subsidi bahan api wajar dihargai kerana membantu mengurangkan beban rakyat.
Menurutnya, usaha kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya memastikan impak konflik di Timur Tengah tidak menjejaskan kehidupan rakyat secara drastik.
“Walaupun harga minyak dunia meningkat, kerajaan masih mengekalkan subsidi kepada rakyat yang memerlukan. Ini merupakan satu usaha besar yang wajar dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Festival Ramadan Raya Sabah 2026 pada Jumaat di sini.
Nizam berkata, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan penggunaan sumber secara berhemah bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
“Kita bukan sahaja perlu menghargai usaha kerajaan, tetapi juga bertanggungjawab untuk berjimat dalam penggunaan elektrik dan kenderaan kerana kedua-duanya berkait rapat dengan penggunaan bahan api.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat bersama-sama menyokong usaha kerajaan supaya impak kenaikan harga tidak menjejaskan kehidupan seharian,” katanya.
Mengulas situasi di Sabah, beliau berkata pengekalan bekalan diesel amat penting memandangkan sebahagian besar penduduk bergantung kepada bahan api itu dalam kehidupan harian.
Katanya, faktor geografi negeri ini menyebabkan penggunaan kenderaan diesel menjadi keperluan utama, khususnya di kawasan luar bandar.
“Oleh itu, kita amat menghargai usaha kerajaan yang terus memastikan bekalan diesel kekal mencukupi demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

