Site icon Gabungan Rakyat Sabah

GRS tetap fokus, tidak terjejas dengan pemimpin hilang arah

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU:Penghijrahan beberapa individu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang hari penamaan calon tidak akan menjejaskan kekuatan gabungan itu yang kini semakin matang dan tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kata aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah.

Beliau berkata, perpindahan keluar sebilangan kecil ahli dan bekas pemimpin GRS merupakan perkara biasa dalam politik dan tidak memberi kesan besar kepada kestabilan gabungan tersebut.

“Saya yakin Hajiji berlapang dada menerima perkara ini kerana beliau memahami inilah asam garam demokrasi. Dari sudut lain, penghijrahan ini membawa hikmah apabila GRS dapat menilai semula siapa yang benar-benar setia dan berjiwa perjuangan,” katanya sebuah dalam kenyataan baru-baru ini.

Aksyah menegaskan bahawa penghijrahan ini hanya memberi peluang kepada GRS memperkukuh barisan calon dan jentera yang berwibawa, serta menapis individu yang hanya berjuang demi jawatan.

“Kemasukan mereka ke parti lain tidak semestinya membawa kekuatan kepada parti baharu. Malah, ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli lama yang terpinggir akibat kehadiran orang baharu ini,” ujarnya.

Beliau menambah, GRS kekal fokus terhadap perjuangan untuk rakyat, manakala mereka yang berpaling arah akan menghadapi kesan daripada tindakan sendiri.

“Biarkan mereka dengan labu-labunya. GRS tetap fokus kepada perjuangan sebenar — membina Sabah yang stabil dan makmur,” katanya.

Aksyah turut menyeru semua pemimpin dan jentera GRS agar memperkukuh gerak kerja di kawasan masing-masing serta menumpukan sepenuhnya kepada strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah pada 29 November ini.

“Keutamaan kita ialah parti. Ketepikan kepentingan peribadi. Kita mahu kemenangan mutlak, bukan sekadar menang kecil dalam pertempuran,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah gabungan bukan pada jumlah penyokong semata-mata, tetapi pada kualiti, disiplin dan strategi yang tersusun.

Aksyah dalam pada itu memuji rekod pentadbiran kerajaan GRS di bawah Hajiji yang disifatkannya cemerlang, khususnya melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang membawa kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik kepada negeri.

“Rakyat Sabah berhak mendapat kerajaan yang memahami denyut nadi mereka. SMJ 2.0 mesti diteruskan demi kesinambungan pembangunan dan masa depan negeri,” katanya.

Menurut beliau, PRU DU-17 kali ini akan menjadi medan penting menentukan masa depan perjuangan GRS untuk mengekalkan dominasi parti-parti tempatan sebagai peneraju kerajaan negeri.

“Kita mesti ingat — ini perjuangan untuk memartabatkan anak bangsa Sabah. Jangan masuk lubang yang sama dua kali. Biar kita yang jaga Sabah, untuk Sabah,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version