TAWAU:Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, memberi bayangan bahawa calon baharu daripada partinya akan menggantikan penyandang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Liew yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, calon tersebut sudah dikenal pasti dan hanya menunggu masa sesuai untuk diumumkan secara rasmi oleh kepimpinan gabungan itu.
“Bagi saya, calon sudah ada, calon sudah tunggu. Tapi bukan saya atau anak saya seperti yang dispekulasikan. Saya bukan pemimpin rakus. Saya tahu apa kehendak rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Ucapan Syukur Pewartaan Kampung Sentosa Blok 4, semalam.
Menurut beliau, pemilihan calon dibuat berdasarkan semangat demokrasi dan keseimbangan kaum, bukannya berpaksikan perkauman.
“Dulu kita bagi peluang kepada kaum Bugis dan wanita, kali ini pun sama — wanita serta kaum Bugis atau Melayu. Saya pemimpin Cina, tapi bukan bermakna saya pilih calon Cina. Kita parti demokrasi, bukan parti kaum,” katanya.
Liew turut menegaskan bahawa keputusan akhir bukan ditentukan secara individu, sebaliknya dibuat melalui perbincangan parti.
“Dalam parti, kita ada disiplin dan kesatuan. Kalau jawatankuasa putuskan untuk tukar calon, maka kita ikut. Tapi kalau kekal, penyandang pun kena bersabar,” ujarnya.
Mengulas peluang GRS dalam PRN Sabah, Liew menyatakan keyakinan bahawa kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, masih mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan dasar dan inisiatif yang telah dilaksanakan.
“Saya percaya kerajaan GRS ini kerajaan yang baik. Contohnya Rumah Mesra SMJ — ramai rakyat sudah terima manfaat. Tanah pun sudah digazet untuk rakyat. Inilah kali pertama kerajaan berani buat begini,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pengundi di Kukusan terus bersatu dan menolak perpecahan yang boleh menjejaskan pembangunan.
“Tidak ada kerajaan yang sempurna, tapi kalau kita lihat GRS, jelas ia kerajaan yang mendahulukan rakyat. Bila kita bersatu, barulah pembangunan sampai ke semua tempat,” katanya.
Dalam pada itu, Liew turut menzahirkan keterbukaannya untuk membantu mana-mana calon, termasuk daripada Pakatan Harapan (PH), sekiranya mereka mampu membawa manfaat kepada rakyat di kawasan lain.
“Kalau calon itu boleh bawa perubahan kepada orang kampung saya, kenapa tidak? Saya bukan kejar balasan. Kalau saya tak dapat mandat, saya anggap semua yang saya buat ini sedekah untuk rakyat,” katanya.
Liew juga tidak menolak kemungkinan bertanding di DUN Merotai, kawasan kelahirannya sendiri.
“Kalau diberi peluang, saya akan kerja keras untuk bangunkan Merotai. Itu tempat lahir saya, saya tidak pernah tinggalkan,” tegasnya.
— TAMAT

