PAPAR: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dato’ Sri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang dalam pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).
Ghulam berdepan saingan daripada Samail Bulongik (PIS), Datuk Jamal Norubit @ Nerubi (BN–UMNO), Beverley Natalie Koh (STAR) dan Nin Jellih (WARISAN).
DUN Kawang mempunyai 23,823 pemilih berdaftar. Pada PRN 2020, Ghulam memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa sebanyak 5,094 undi.
Sementara itu, penyandang dari GRS bagi DUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, berdepan pertandingan sembilan penjuru pada PRU17 Sabah kali ini.
Beliau ditentang Joseph Philip Kulip (PIS), Linda Beda Dunstan (Bebas), Malik Luman (KDM), Datuk Nelson W. Angang (UPKO), Datuk Edward Dagul (SAPP), Roger @ Roy Valentine Amandus (WARISAN), Adrian Alexander (PN–Bersatu) dan Marcellus Tambud (Bebas).
Di DUN Pantai Manis, calon GRS, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir turut berdepan saingan sengit tujuh penjuru.
Beliau dicabar oleh Richard Vitales @ Charles (STAR), Redzuan @ Ismail (BN–UMNO), Datuk Aidi Mokhtar (WARISAN), Faizal Julaili (PN–Bersatu), Datu Mohamad Datu Tamin (KDM) dan Mohamad Azzmi Ahmad (PIS).
Pertandingan pelbagai penjuru di ketiga-tiga kerusi tersebut dijangka menjadi antara tumpuan utama PRU17 Sabah apabila kawasan di daerah Papar itu merupakan kubu penting bagi GRS dalam usaha mempertahankan pentadbiran negeri.
— TAMAT

