BEAUFORT: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyatakan keyakinan tinggi bahawa gabungan itu mampu memperoleh lebih 37 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17, 29 November ini.
Beliau berkata keyakinan itu berasaskan kekuatan jentera GRS di seluruh negeri, sokongan padu para pengundi serta kerjasama erat antara parti-parti komponen gabungan berkenaan.
“Program hari ini sebahagian daripada gerak kempen bagi dua calon kita di kawasan ini. Dengan jentera yang tersusun, sokongan rakyat yang semakin meningkat dan muafakat kukuh dalam GRS, saya amat yakin kita mampu mempertahankan kerusi Lumadan dan Klias.
“Kedua-dua kerusi ini, boleh dikatakan, memang milik GRS,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kempen Rumah Kita, Kita Jaga bagi kawasan DUN Klias dan DUN Lumadan di Dewan Bagandang, di sini, hari ini.
Hajiji berkata GRS bertanding di 55 kerusi dan gabungan itu optimis untuk meraih kemenangan lebih besar daripada sasaran yang ditetapkan.
“Saya yakin kita boleh memperoleh lebih daripada 37 kerusi. Yang penting, kita membentuk kerajaan dengan majoriti selesa demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan negeri dapat diteruskan,” jelasnya.
Program itu menyaksikan kehadiran hampir 10,000 penyokong yang memberi sokongan padu kepada dua calon GRS, iaitu Datuk Isnin Aliasnih (DUN Klias) dan Datuk Ruslan Muharam (DUN Lumadan).
— TAMAT
