Site icon Gabungan Rakyat Sabah

GRS nafi dakwaan pertemuan dengan BN, PN dan GPS ,tiada perbincangan dalam kepimpinan

FOKUS: Armizan menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, menegaskan keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan kestabilan pentadbiran berbanding melayani spekulasi politik tidak berasas.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan bahawa kepimpinan gabungan itu mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti yang ditularkan menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai pertemuan berkenaan dan menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kalangan kepimpinan GRS.

“Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Armizan berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berbaki kira-kira satu setengah tahun dan semua pihak sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan agenda pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan impak konflik geopolitik global, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi, memastikan kestabilan pentadbiran serta menjaga kebajikan rakyat, bukannya melayani spekulasi politik yang tidak berasas.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut menafikan dakwaan mengenai pertemuan tersebut dan memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Terdahulu, satu mesej tular di aplikasi WhatsApp mendakwa pemimpin BN, PN, GPS dan GRS akan mengadakan sidang media bersama pada jam 2 petang Selasa, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kononnya berlaku penjajaran politik baharu.

Penafian serentak daripada kepimpinan GRS dan BN, bagaimanapun, menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa tiada sebarang pertemuan seperti yang didakwa berlangsung.

Exit mobile version