Site icon Gabungan Rakyat Sabah

GRS lengkap senarai 55 calon hadapi PRN Sabah ke-17

(Dari kiri) Rafie, Bonaventure, Samsiah, dan Hassan

KOTA KINABALU:  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat calon terakhir yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sekali gus melengkapkan keseluruhan 55 calon gabungan itu bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pengumuman itu menandakan kesiapsiagaan penuh gabungan tersebut dalam menghadapi PRN kali ini dengan barisan calon yang mantap dan berwibawa.

“Semua calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka berupaya memenangi pilihan raya ini serta meneruskan perjuangan GRS untuk rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Empat calon tersebut ialah Dr Bonaventure Boniface (DUN Tamparuli N14), Rafie Robert Tawik (DUN Bingkor N40), Samsiah Usman (DUN Kukusan N70) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (DUN Sebatik N73).

Menurut Hajiji, senarai penuh calon yang diumumkan hari ini memperkukuh komitmen GRS untuk menawarkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu, dengan komposisi 35 peratus calon terdiri daripada generasi muda.

“GRS membawa aspirasi baharu untuk Sabah yang stabil, makmur dan bersatu. Saya menyeru semua jentera dan penyokong agar memastikan kemenangan GRS supaya mandat rakyat dapat diteruskan bagi melaksanakan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan negeri hanya dapat dicapai melalui mandat jelas daripada rakyat kepada kerajaan GRS.

Pada Rabu, Hajiji telah mengumumkan 51 calon pertama, terdiri daripada wakil-wakil parti komponen utama GRS yang mewakili pelbagai latar belakang etnik, profesional dan kawasan.

— TAMAT

Exit mobile version