KOTA KINABALU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai sebuah gabungan politik yang kukuh dan bersatu, dengan kerjasama serta persefahaman antara parti-parti komponen terus diperkasakan demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Datuk Victor Peter Paut berkata, hubungan erat yang terjalin dalam kalangan parti komponen GRS menjadi asas penting dalam memperkukuh kedudukan gabungan itu sebagai tunjang kerajaan negeri.
Menurut beliau, semangat kerjasama dan persefahaman sentiasa diperkemas dari semasa ke semasa bagi memastikan GRS terus relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“Sebagai parti teras dalam GRS, Gagasan Rakyat terus menjalin hubungan baik dan kerjasama erat bersama parti-parti komponen lain seperti PBS, PHRS, LDP dan PCS, selain mengekalkan kerjasama yang baik dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri.
“Sekiranya permohonan UPKO untuk menyertai GRS diterima, ia pasti akan memperkukuh lagi gabungan ini di seluruh Sabah termasuk di Keningau,” katanya dalam satu kenyataan.
Victor berkata, kekuatan GRS bukan hanya terletak pada kerjasama politik, malah turut dipacu oleh komitmen untuk memelihara perpaduan, menolak sentimen perkauman dan memperkukuh hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam membawa pembangunan yang lebih tersusun dan berfokus kepada keperluan rakyat.
Victor berkata, pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 membuktikan kesungguhan kerajaan dalam merancang pembangunan jangka panjang yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
“Setiap daerah termasuk Keningau akan terus menerima manfaat pembangunan secara berperingkat, khususnya dalam aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.
“Untuk terus maju, kita perlu mengutamakan perpaduan dan kerjasama. Sikap saling menyalahkan, berprasangka atau terlalu berpolitik hanya akan menghalang usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya. Sehubungan itu, Victor menyeru seluruh ahli parti dalam komponen GRS di Keningau agar terus berganding bahu, memperkukuh semangat kekeluargaan serta mengekalkan kerjasama yang erat demi memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negeri dapat diteruskan untuk manfaat rakyat.

