KOTA KINABALU:Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan calon Parti Warisan bagi mencabar kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Amelati Parnell selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin serta dua lagi responden dalam kes berkenaan lapor Sabah Media.
Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen, Terence Au Soon Fu, untuk membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Chong Chen Bin dan RM10,000 masing-masing kepada responden kedua serta ketiga.
Petisyen tersebut difailkan bagi mencabar keputusan pilihan raya bagi kerusi DUN Tanjong Kapor, namun mahkamah mendapati bantahan awal yang dikemukakan responden mempunyai merit dan seterusnya menolak petisyen berkenaan.
Dengan keputusan tersebut, Chong Chen Bin, yang juga dikenali sebagai Ben Chong kekal sebagai wakil rakyat bagi kerusi DUN Tanjong Kapor.
