KENINGAU:Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Bayangan hari ini menyaksikan kehadiran luar biasa penduduk setempat yang mahu menyampaikan sendiri keperluan serta harapan mereka kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Program yang turut dihadiri Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun itu memberi ruang kepada penduduk berkongsi isu pembangunan, termasuk prasarana asas, peluang ekonomi serta aspek kebajikan yang memerlukan perhatian berterusan.
Masidi dalam ucapannya menegaskan kepentingan mengekalkan GRS sebagai kerajaan negeri bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang sedang berjalan.
“Jika Liawan mahu terus maju, kestabilan mesti dikekalkan. GRS sudah bekerja dan rakyat sudah melihat hasilnya. Jangan hentikan momentum ini,” katanya.
Beliau berkata, GRS telah meletakkan asas kukuh pembangunan sejak lima tahun lalu, dan mandat baharu diperlukan agar projek-projek yang telah dimulakan tidak tergantung akibat perubahan politik.
Program itu diakhiri dengan sesi interaksi mesra antara penduduk, Annuar dan Masidi, yang mengambil peluang mendengar secara langsung isu-isu rakyat serta cadangan penambahbaikan.
Suasana yang harmoni dan penuh keakraban mencerminkan sokongan padu penduduk terhadap usaha pembangunan di Liawan, selain keyakinan bahawa GRS mampu meneruskan agenda kemajuan yang telah dirancang.
— TAMAT

