TAWAU: Peningkatan bayaran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan pendekatan rundingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bersama Kerajaan Persekutuan berjaya menghasilkan perkembangan positif dalam memperjuangkan hak negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan tersebut merupakan petunjuk jelas bahawa usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah, khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), semakin membuahkan hasil.
Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
“Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mengutamakan rundingan, kebijaksanaan serta hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, telah menghasilkan manfaat yang nyata kepada rakyat Sabah.
“Perjuangan hak Sabah tidak boleh diukur melalui retorik politik atau kenyataan beremosi semata-mata, tetapi perlu dinilai berdasarkan pencapaian dan hasil yang dapat dinikmati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, proses memuktamadkan tuntutan hak Sabah di bawah MA63 memerlukan penelitian mendalam kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk perundangan, fiskal dan pentadbiran.
Menurutnya, rundingan yang sedang berlangsung memerlukan kesabaran serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian yang dicapai dapat dilaksanakan secara berkesan, adil dan mampan.
Katanya, GRS mengambil pendekatan tegas dalam mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ruang rundingan terus terbuka.
“Pendekatan ini membuka jalan kepada penyelesaian yang lebih konstruktif dan akhirnya membolehkan Sabah memperoleh peningkatan bayaran interim yang lebih besar sementara formula muktamad sedang diperhalusi.
“Walaupun bayaran interim RM1.5 bilion ini bukan penyelesaian akhir, ia merupakan petunjuk jelas bahawa tuntutan Sabah terus diberi perhatian dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus Sabah kini bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme pelaksanaannya.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan antara pencapaian penting dalam sejarah perjuangan menuntut hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah perlu melihat perkara ini secara adil kerana kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus diperjuangkan dan hasilnya kini dapat dilihat secara berperingkat.
“Dalam isu sebesar ini, kerajaan perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar kukuh dari sudut perundangan, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya.
Nizam berkata, Parti Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan secara telus, adil dan selaras dengan semangat MA63.
“Perjuangan hak Sabah memerlukan keberanian dan kebijaksanaan. Ketegasan perlu disertai strategi, manakala suara rakyat perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata, bukan sekadar slogan,” katanya.

