KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang gagal menunjukkan prestasi atau mencatat keuntungan selama lima tahun berturut-turut akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan diarahkan ditutup, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, mana-mana GLC yang tidak mencatat keuntungan dalam tempoh berkenaan akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS). Kerajaan Negeri, katanya, tidak akan teragak-agak mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC terbabit tidak menunjukkan sebarang prospek pemulihan.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dividen dan Sumbangan GLC serta Badan Berkanun Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, setiap badan berkanun dan GLC diwajibkan mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sedia ada iaitu 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai, selaras dengan disiplin kewangan dan komitmen yang telah digariskan kerajaan negeri.
Selain itu, bermula tahun hadapan, Kerajaan Negeri turut mensasarkan peningkatan sumbangan tahunan GLC antara RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi masing-masing.
Hajiji turut mengumumkan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat, kebertanggungjawaban serta menyuntik kepimpinan baharu ke arah transformasi yang lebih berkesan dan mampan.
Seiring matlamat Sabah Maju Jaya 2.0, beliau menegaskan GLC perlu diperkasakan sebagai pemangkin ekonomi negeri yang cekap dan dipercayai melalui pengurusan berwibawa bagi menjana pendapatan serta nilai lebih tinggi kepada rakyat.
Dalam pada itu, Hajiji mengulangi arahan supaya semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepadanya, merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian KPI dan tahap kecekapan operasi.
Berdasarkan laporan semasa, prestasi keseluruhan GLC berada pada tahap sederhana dengan jumlah dividen dan sumbangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM125.3 juta, berbanding rekod tertinggi RM156.31 juta pada 2022, sekali gus menunjukkan potensi agensi milik kerajaan masih boleh dipertingkatkan.
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menerima replika cek daripada pelbagai GLC dan Badan Berkanun Negeri berjumlah RM131.6 juta, dengan SMJ Energy Sdn Bhd muncul sebagai pembayar dividen terbesar bernilai RM50 juta serta sumbangan RM1 juta kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.

