KOTA KINABALU:Seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama tiga Ketua Wanita Bahagian mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu selepas hilang keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Bekas AMT Warisan merangkap Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta melihat keperluan untuk memperkukuh kesatuan politik tempatan demi kepentingan Sabah.
Menurut beliau, ramai pemimpin dan ahli akar umbi semakin kecewa apabila pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian, selain merasakan parti semakin jauh daripada aspirasi rakyat.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah mengambil kira perkembangan semasa serta kegagalan kepimpinan parti untuk menyatukan kekuatan politik Sabah.
“Ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana suara mereka tidak lagi diberi perhatian dan parti dilihat semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.
Turut mengumumkan keputusan meninggalkan Warisan ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah.
Selain empat pemimpin kanan berkenaan, beberapa bekas pemimpin bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud dan Kudat turut mengambil langkah yang sama.
Mohd Taib berkata, beliau bersama beberapa pimpinan dan ahli parti dari pelbagai peringkat kini mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, kepimpinan Hajiji berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menghimpunkan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah satu agenda yang jelas untuk membangunkan Sabah.
“Pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa beliau memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Atas keyakinan itu, kami mengambil keputusan untuk menyertai Gagasan Rakyat dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya. Mohd Taib berkata, beliau yakin sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat apabila semakin ramai pemimpin dan ahli di pelbagai peringkat memilih untuk bersama sebuah perjuangan yang lebih stabil, progresif dan berfokus kepada kepentingan Sabah.

