KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut malam tadi susulan dapatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung gangguan pada injap pintu air yang disyaki melibatkan unsur khianat dan sabotaj terhadap infrastruktur awam.
Armizan berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung tindakan yang didakwa menjejaskan utiliti awam serta mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai.
Laporan tersebut menyusuli satu mesyuarat khas yang diadakan pagi semalam atas permuafakatan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dengan JANS, agensi berkaitan serta kontraktor dua projek bekalan air di Papar bagi meneliti punca gangguan kritikal bekalan air sejak penghujung Disember 2025.
Mesyuarat yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Limbahau dan Pantai Manis itu mendengar penjelasan pasukan khas JANS yang menjalankan siasatan lapangan, yang mendapati berlaku gangguan pada injap pintu air (sluice valve) di dua stesen pam penggalak (booster pump), dipercayai melibatkan alihan bekalan air keluar dari Mukim Kinarut dan Kawang sehingga melepasi sempadan daerah Papar.
Menurut Armizan, gangguan berkenaan telah menjejaskan jadual catuan air sedia ada serta mengurangkan lagi sumber air terawat sebelum siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 yang dijadualkan siap pada suku keempat 2026, sekali gus menimbulkan kesulitan serius kepada penduduk.
“Tujuan laporan ini adalah untuk memohon PDRM menjalankan siasatan segera kerana ia melibatkan unsur jenayah yang mendatangkan kemudaratan awam. Walaupun JANS telah menyatakan komitmen untuk menjalankan siasatan dalaman, saya berpandangan siasatan oleh PDRM juga perlu berjalan serentak,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Beliau berkata antara langkah segera yang diputuskan dalam mesyuarat itu termasuk pelaksanaan penyambungan silang (inter-connection) daripada rangkaian paip LRA Kogopon 1 (P1) terus ke Tangki Utama Kawang (P3) bagi menyalurkan bekalan air terawat secara lebih efisien tanpa melalui jaringan paip yang terlalu jauh, termasuk melalui tangki Melinsung (R22).
Kerja-kerja tersebut bermula hari ini, manakala kapasiti pemprosesan air di LRA Kogopon 1 akan ditingkatkan sebanyak 10 peratus daripada 40 juta liter sehari sebagai langkah interim, selain naik taraf dan penggantian tiga pam rawatan air di loji berkenaan.
Armizan turut memaklumkan bahawa pelaksanaan kedua-dua strategi itu disasarkan siap dalam tempoh dua minggu sebelum operasi penuh, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen untuk turun ke lapangan bagi memantau sendiri kemajuan kerja.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak akan melayan sebarang polemik politik ketika ini meskipun wujud kenyataan provokasi oleh bekas Ahli Parlimen Papar daripada Parti Warisan pada 6 Januari lalu.
“Fokus saya adalah menyelesaikan isu rakyat. Ini bukan masa untuk polemik politik. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan drama,” katanya.
Beliau menambah, sebarang maklum balas terhadap kenyataan tersebut hanya akan dibuat selepas bekalan air berjaya distabilkan dan kesulitan penduduk dapat dikurangkan.
–TAMAT

