Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Gagasan Rakyat rombak struktur Parti, guna Parlimen sebagai bahagian

PENSTRUKTURAN SEMULA: Hajiji menjelaskan keputusan rombakan struktur parti demi memperkukuh organisasi dan jentera Gagasan Rakyat.

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memutuskan untuk merombak struktur organisasinya dengan menjadikan kawasan Parlimen sebagai bahagian parti menggantikan struktur berasaskan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presidennya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perubahan itu dibuat menerusi pindaan perlembagaan parti yang akan menyaksikan jumlah bahagian Gagasan Rakyat dikurangkan daripada 74 bahagian termasuk Labuan kepada 26 bahagian baharu berasaskan kawasan Parlimen.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu penting dalam usaha memperkukuh organisasi parti, selain memastikan kekuatan jentera dapat diselaraskan secara lebih tersusun dan efektif.

“Sebagai Presiden parti, saya yakin keputusan ini tepat, perlu dan bertanggungjawab kerana jika kita mahu Gagasan Rakyat terus memimpin, parti ini tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian semata-mata.

“Kita perlu memastikan parti tersusun rapi, bergerak sebagai satu pasukan dan jelas arah perjuangannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, selama ini Gagasan Rakyat mempunyai 74 bahagian mengikut kawasan DUN termasuk Labuan, namun tidak semua bahagian bergerak pada tahap kekuatan yang sama.

Menurutnya, terdapat bahagian yang aktif dan mempunyai kekuatan jentera yang baik, manakala sebahagian lagi masih berdepan kekangan dari segi keahlian dan gerak kerja organisasi.

“Jika struktur terlalu banyak tetapi kekuatannya tidak seimbang, sumber parti akan terpecah terlalu kecil.

“Majlis Tertinggi melihat perkara ini secara jujur dan matang. Jika struktur lama tidak lagi memberikan kekuatan optimum, maka ia perlu disusun semula,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira realiti politik semasa, kesiapsiagaan jentera parti serta tanggungjawab Gagasan Rakyat sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri.

Hajiji turut menegaskan bahawa penstrukturan semula itu bukan bertujuan mengenepikan jasa atau pengorbanan mana-mana pemimpin dan ahli parti.

“Yang berubah hanyalah struktur parti, bukan nilai perjuangan, bukan juga kepercayaan parti terhadap ahli-ahlinya.

“Jasa dan pengorbanan ahli parti tidak pernah terpadam hanya kerana struktur diperbaharui kerana nilai sebenar perjuangan terletak pada kesetiaan dan khidmat kepada parti serta rakyat,” katanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan jentera akar umbi yang selama ini bergerak dari kampung ke kampung demi memperkukuh parti.

Katanya, penyusunan semula itu akan membolehkan semua kekuatan yang ada diselaraskan dengan lebih baik dalam gerak kerja parti di peringkat Parlimen, cawangan dan komuniti.

“Jawatan boleh berubah, struktur boleh berubah, tetapi perjuangan untuk Sabah tidak boleh berubah,” katanya.

Exit mobile version