KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N.21 Luyang menyambut baik pembentangan Belanjawan Sabah 2026 yang disifatkan sebagai bukti keupayaan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan, sambil terus mengutamakan pembangunan serta kebajikan rakyat.
Menurut kenyataan Gagasan Rakyat Luyang, belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, yang merekodkan lebihan RM28 juta, mencerminkan kestabilan fiskal negeri serta pengurusan kewangan yang berada di landasan tepat.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan jangka panjang Sabah,” menurut kenyataan itu.
Gagasan Rakyat Luyang turut menyambut baik peruntukan besar kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, iaitu RM1.122 bilion bagi Perbelanjaan Perbekalan dan RM534.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan, yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek menaik taraf jalan kampung, jalan pertanian serta penambahbaikan sistem bekalan air luar bandar.
Menurut kenyataan itu, peruntukan berkenaan menepati keperluan rakyat di peringkat akar umbi yang sekian lama menuntut penyelesaian isu infrastruktur asas.
Selain itu, Gagasan Rakyat Luyang menyokong penuh penerusan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan penambahan kuota daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2026, sebagai usaha menyediakan kediaman selesa dan bermaruah kepada golongan B40, keluarga muda serta rakyat yang memerlukan.
Dalam aspek pembangunan modal insan, peruntukan sebanyak RM186.54 juta bagi Perbelanjaan Perbekalan dan RM18.18 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri melabur dalam pendidikan sebagai asas pembangunan jangka panjang Sabah.
Gagasan Rakyat Luyang turut mengalu-alukan peruntukan RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) bagi memperkukuh agenda kebajikan, kesejahteraan sosial serta pemerkasaan wanita di negeri ini.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, termasuk sokongan kepada NGO, pengoperasian institusi kebajikan serta pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13),” menurut kenyataan itu.
Dalam aspek pemerkasaan wanita, Wanita Gagasan Rakyat menyambut baik peruntukan RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program strategik sepanjang 2026.
Di bawah RMKe-13, JHEWA turut diluluskan siling peruntukan RM1.80 juta bagi Projek Pembinaan Bangunan Asrama Wisma Wanita Fasa 2, dengan RM500,000 diperuntukkan pada tahun 2026 bagi melaksanakan kerja-kerja awalan pembinaan.
Dalam masa yang sama, Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan RM12.12 juta bagi tujuan pengoperasian serta penerusan Program Kredit Komuniti, yang terus memberi manfaat kepada golongan wanita berpendapatan rendah yang menjalankan perniagaan kecil bagi menjana pendapatan keluarga.
Secara keseluruhan, Gagasan Rakyat Luyang berpandangan bahawa Belanjawan Sabah 2026 mencerminkan komitmen jelas Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan secara seimbang, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
–TAMAT

