KENINGAU: Beberapa pemerhati politik tempatan tampil mempertahankan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng, daripada tuduhan tidak berasas yang melabel beliau sebagai “pengkhianat perjuangan”.
Mereka menegaskan bahawa tindakan Flovia bukanlah bentuk pengkhianatan politik, sebaliknya keputusan matang demi memastikan kestabilan dan kesinambungan pembangunan rakyat di Tulid.
“Langkah Datuk Flovia bukan pengkhianatan. Ia keputusan berani dan bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyat terus dijaga,” kata salah seorang pemerhati politik ketika ditemui.
Flovia, yang pertama kali dipilih sebagai ADUN Tulid pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, dikenali sebagai pemimpin wanita luar bandar yang sederhana, dekat dengan rakyat dan tidak datang daripada keluarga politik elit.
Meskipun dicalonkan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada saat akhir, beliau berjaya mencipta kejutan apabila menawan kerusi baharu Tulid , kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi mana-mana parti tempatan. Kemenangannya dilihat sebagai bukti kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan integriti kepimpinan beliau.
Selepas kemenangan itu, Flovia terus memberi penghormatan kepada semua pihak termasuk kepimpinan STAR. Namun, pemerhati menegaskan bahawa tanggungjawab seorang ADUN bukan kepada parti semata-mata, tetapi kepada rakyat yang diwakilinya.
Mengulas dakwaan kononnya Flovia menyingkirkan bekas rakan politik daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pemerhati menjelaskan bahawa pelantikan tersebut dibuat berdasarkan prosedur kerajaan negeri, bukan keputusan peribadi.
“Pelantikan dibuat mengikut keperluan dan kebolehan bekerja, bukan sentimen politik,” jelasnya.
Mereka juga menepis dakwaan bahawa penganugerahan gelaran “Datuk” kepada Flovia bermotif politik, sebaliknya pengiktirafan itu diberikan hasil sumbangan beliau dalam pembangunan komuniti luar bandar, pemberdayaan wanita dan ekonomi desa.
Sebagai bekas Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, keputusan Flovia untuk kekal di Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggap langkah strategik bagi memastikan kesinambungan pembangunan rakyat Tulid.
“Beliau tidak berpaling tadah. Sebaliknya, memilih berada dalam arus pentadbiran supaya rakyat tidak terpinggir. Itu bukti politik matang, bukan politik dendam,” kata seorang lagi pemerhati.
Pemerhati turut memuji Flovia kerana kekal fokus terhadap tanggungjawab utama sebagai wakil rakyat walaupun berdepan pelbagai tohmahan politik.
“Kesetiaan sebenar bukan kepada individu atau parti, tetapi kepada amanah rakyat. Dalam hal ini, Datuk Flovia kekal setia setia kepada Sabah dan rakyat Tulid,” tegas mereka.
— TAMAT

