Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Flat Pasir Putih uzur, SAY desak tindakan segera

DUN:Shah Alfie ketika menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Keadaan struktur bangunan Flat Pasir Putih di Putatan yang semakin uzur mendapat perhatian serius Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) yang menggesa tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk berhubung tahap penyelenggaraan perumahan kos rendah yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

“Saya ingin membawa suara kegelisahan penduduk mengenai isu penyelenggaraan Flat Pasir Putih, Putatan.

“Keadaan infrastruktur bangunan ini semakin membimbangkan dengan tanda-tanda kerosakan ketara, termasuk keretakan pada struktur di pelbagai bahagian yang boleh mengancam keselamatan penghuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.

Flat Pasir Putih, Putatan

Sehubungan itu, Shah Alfie menggesa LPPB mengambil langkah segera dan komprehensif bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terus terjamin.

Dalam perbahasan sama, beliau turut membangkitkan isu keselamatan melibatkan laluan kereta api di kawasan Putatan yang dilihat memerlukan perhatian serius.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan sistem kereta api moden dari Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar.

“Namun, aspek keselamatan rakyat perlu diberi keutamaan dengan menjalankan kajian komprehensif terhadap perkhidmatan kereta api sedia ada yang kerap terlibat dalam insiden kemalangan, termasuk yang meragut nyawa,” katanya.

Menurutnya, rakyat mengharapkan agar perkhidmatan kereta api sedia ada dinaik taraf secara menyeluruh dengan penambahbaikan ciri keselamatan serta penggunaan teknologi moden.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna dan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Exit mobile version