Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Fikirkan cara manfaatkan aset, bukan tambah caj kepada rakyat: Sim Fui

HASIL: Naib Presiden Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui mencadangkan DBKK memperluas sumber hasil sendiri dengan memanfaatkan aset sedia ada secara lebih produktif.

KOTA KINABALU:Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran memberi keutamaan kepada usaha menjana dan memperluas sumber hasil sendiri sebelum mempertimbangkan pengenalan caj baharu yang boleh menambah beban rakyat.

Naib Presiden Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui, berkata pihaknya memahami kekangan kewangan dan sumber yang dihadapi DBKK, namun terdapat beberapa pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan kedudukan kewangan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah mempercepatkan kutipan hasil tertunggak serta memanfaatkan aset bandar dan ruang awam sedia ada secara lebih produktif bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu.

Sim Fui berkata, DBKK boleh mempertimbangkan program penyelesaian tunggakan cukai taksiran secara sekali sahaja atau menyediakan skim bayaran ansuran bagi memudahkan pemilik harta menjelaskan tunggakan.

“Jika cukai taksiran itu sememangnya hasil yang sepatutnya diterima DBKK, daripada tunggakan itu terus tidak dapat dikutip, lebih baik diberikan satu peluang dalam tempoh tertentu supaya mereka yang mempunyai tunggakan dapat tampil dan menjelaskan bayaran,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, DBKK juga boleh mempertimbangkan pengurangan sebahagian penalti atau surcaj lewat bayar untuk tempoh terhad sebagai insentif kepada pembayar cukai menyelesaikan tunggakan masing-masing.

Pada masa sama, beliau berkata inventori menyeluruh terhadap tanah, bangunan, tempat letak kereta dan aset awam lain milik DBKK perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti aset yang terbiar atau kurang dimanfaatkan.

Menurutnya, aset berkenaan berpotensi menjana hasil menerusi penyewaan, kerjasama komersial atau aktiviti ekonomi sementara, tanpa menjejaskan fungsi serta kepentingan awam.

Sebagai contoh, beliau berkata tanah kosong yang bersesuaian boleh dimanfaatkan sebagai tempat letak kereta sementara, pasar hujung minggu, tapak gerai makanan atau lokasi penganjuran acara.

Ruang tertentu di kemudahan awam seperti jejantas pejalan kaki, perhentian bas dan kawasan tempat letak kereta pula boleh dipertimbangkan untuk tujuan pengiklanan secara terkawal.

“Banyak aset di dalam bandar digunakan setiap hari tetapi tidak semestinya dimanfaatkan sepenuhnya.

“Apa yang perlu kita fikirkan bukan bagaimana hendak mengenakan tambahan RM10 atau RM20 kepada rakyat, tetapi bagaimana aset yang kita sudah miliki boleh dijadikan sumber hasil,” katanya.

Sim Fui turut mencadangkan DBKK mengkaji pelaksanaan konsep ‘Adopt the City’ atau ‘Angkat Bandar’ menerusi kerjasama dengan sektor korporat secara sah dan telus.

Menurutnya, menerusi pendekatan itu, syarikat boleh bekerjasama membantu menaik taraf serta menyelenggara kemudahan seperti taman, tandas awam, perhentian bas dan kawasan landskap — dengan ruang paparan jenama diberikan secara bersesuaian dan terkawal.

Beliau menegaskan usaha meningkatkan hasil DBKK tidak bermakna semua aset atau perkhidmatan awam perlu dikomersialkan dan dikenakan bayaran.

Sebaliknya, beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada penggunaan aset secara lebih cekap dan kreatif bagi meningkatkan hasil tanpa mengabaikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Exit mobile version