KOTA KINABALU: Pertikaian undang-undang selama tiga tahun yang difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengosongkan empat kerusi Ahli Parlimen Sabah susulan isu lompat parti berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan parti itu untuk mendapatkan kebenaran merayu.
Dalam keputusan majoriti, Hakim Nallini Pathmanathan dan Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan kebenaran merayu tersebut, manakala Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel, mengemukakan pendapat berbeza.
Nallini berkata kebenaran merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak wajar diberikan kerana kes berkenaan bukan melibatkan semakan kehakiman pentadbiran, sebaliknya berkaitan semakan kehakiman perlembagaan.
“Kita berdepan dengan kuasa perlembagaan Speaker Dewan Rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tersebut tidak boleh diadili berhubung prosiding Parlimen berdasarkan Perkara 63 dan 72 Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Beliau berkata ambang rendah yang lazim digunakan untuk menentukan sama ada kebenaran perlu diberikan bagi memulakan semakan kehakiman tidak terpakai dalam kes ini.
“Mahkamah terikat untuk memberi pertimbangan kepada doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen,” katanya, sambil menegaskan bahawa mahkamah tidak akan campur tangan atau meneliti perkara yang berada dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan, kecuali jika Speaker bertindak di luar bidang kuasanya.
Menurutnya, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk menyemak penentuan yang dibuat selaras dengan kuasa perlembagaan tersebut.
Beliau turut memutuskan bahawa Bersatu gagal melepasi halangan kebolehdiadilan kerana tidak dapat menunjukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan Speaker. “Kami juga berpuas hati bahawa walaupun kebenaran diberikan, tiada prospek munasabah untuk berjaya,” katanya.
Dalam pendapat berbeza, Azizah menyatakan persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah penting dan melibatkan kepentingan awam. Menurutnya, semasa perbahasan pindaan Perkara 49A, terdapat kebimbangan mengenai kuasa Speaker untuk menentukan kekosongan luar jangka.
“Penentuan itu mesti berdasarkan fakta dan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara Speaker,” katanya, sambil menambah bahawa isu kebolehdiadilan wajar dihujahkan di mahkamah.
Pada 17 April 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam perkara berkenaan. Keputusan itu disahkan Mahkamah Rayuan tahun lalu, sekali gus membawa kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Bersatu sebelum ini memfailkan saman mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang enggan mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi empat kerusi Parlimen selepas penyandangnya menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Empat kerusi berkenaan disandang Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang). Dalam samannya, Bersatu berhujah bahawa keputusan Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi tersebut adalah “dicemari ketidakpatuhan undang-undang”.
Keempat-empat Ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 ketika Bersatu masih sebahagian daripada GRS. GRS kemudiannya menggugurkan Bersatu sebagai rakan gabungan selepas PRU15.
–TAMAT
