KOTA KINABALU:Ekonomi Sabah dijangka terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi global susulan konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, selepas selesai Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada November lalu, kerajaan negeri komited memperhebatkan usaha pembangunan berteraskan SMJ 2.0 yang dilancarkan pada 30 Januari lepas.
“Hala tuju ini juga selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Justeru, saya yakin ekonomi negeri mampu terus berkembang positif meskipun berdepan cabaran luaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Hajiji berkata, pergolakan geopolitik global turut memberi kesan terhadap bekalan minyak dunia yang boleh mencetuskan krisis tenaga, sekali gus memberi implikasi kepada ekonomi negara termasuk Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan serta penggunaan kenderaan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhemah dalam penggunaan air susulan peningkatan suhu yang berpotensi membawa kepada fenomena El Niño dan kemarau panjang.
“Rakyat juga dinasihatkan mengelakkan pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau,” katanya.
Menyentuh prestasi ekonomi negeri, Hajiji berkata kerajaan negeri kini meneroka potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik baharu di bawah SMJ 2.0, berasaskan kekuatan sumber maritim dan biodiversiti Sabah.
Menurutnya, pendekatan itu merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, selain menjadikan sungai sebagai pemangkin ekonomi luar bandar.
“Inisiatif ini juga melibatkan perlindungan kawasan pesisir, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah tinggi.
“Penerokaan Ekonomi Biru, khususnya dalam sektor perikanan dan akuakultur, dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar dan berkesan.
Menurutnya, projek keutamaan meliputi sektor infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan rakyat akan dipantau rapi bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual.
Sempena sambutan ulang tahun kelahiran TYT, Hajiji turut mengajak seluruh kepimpinan negeri, penjawat awam serta sektor swasta untuk bersama-sama memperkukuh komitmen dalam memacu pembangunan Sabah.
“Saya menyeru semua pihak agar terus mencurahkan khidmat bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

