KOTA KINABALU: Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Sri Gaya, di sini, pada Isnin.
Pertemuan tersebut antara lain membincangkan hubungan dua hala antara Sabah dan Indonesia termasuk potensi memperluaskan kerjasama perdagangan, pelaburan serta hubungan ekonomi serantau.
Mohammad Iman yang dilantik sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia pada 8 Oktober tahun lalu turut berkongsi pandangan mengenai peluang memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak khususnya melibatkan Sabah dan wilayah Kalimantan.
Sebelum itu, beliau menghadiri World Green and Sustainability Summit yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini.
Pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan erat dan kerjasama berterusan antara Sabah dan Indonesia dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, perdagangan dan pembangunan mampan.

