Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Dokumentari ‘ITAM’ tarik sambutan hangat di Singapura

KENANGAN:Joniston (empat kanan) bergambar bersama tetamu kehormat pada tayangan perdana dokumentari ITAM: A Sun Bear Story di Singapura.

SINGAPURA: Dokumentari hidupan liar ‘ITAM: A Sun Bear Story’ menerima sambutan memberangsangkan dengan kehadiran penuh penonton pada tayangan perdana gala yang berlangsung di Golden Village Suntec City, di sini, pada Rabu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, turut menghadiri tayangan berkenaan.

Maklum balas awal penonton terhadap dokumentari itu adalah positif, khususnya terhadap kisah menyentuh hati mengenai beruang matahari Borneo serta usaha pemuliharaan yang dijalankan di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo di Sandakan, yang merupakan satu-satunya pusat seumpamanya di dunia.

Joniston berkata, dokumentari tersebut menyediakan platform tambahan untuk mengetengahkan komitmen Sabah terhadap pelancongan berasaskan alam semula jadi dan lestari, selaras dengan usaha berterusan STB memperkukuh kesedaran destinasi dalam pasaran utama.

“Singapura kekal sebagai pasaran penting dan pintu masuk utama ke Sabah.

“Dalam dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 4,691 pelawat dari Singapura direkodkan, menyumbang kepada 296,489 ketibaan pelancong antarabangsa ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan serantau turut memudahkan akses pelancong jarak jauh, khususnya dari Eropah yang semakin cenderung kepada pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi dan bertanggungjawab.

Menurutnya, kisah beruang matahari Borneo membuka peluang untuk menarik perhatian terhadap produk pelancongan hidupan liar Sabah, khususnya dalam kalangan segmen pelancong yang berminat terhadap pemuliharaan.

“Kita mahu terus memposisikan Sandakan dan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang bertanggungjawab dan bermakna, selaras dengan hala tuju kerajaan negeri dalam mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan pelancongan secara lestari,” katanya.

Dokumentari terbitan Brainchild Pictures itu ditayangkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin, dan telah dilanjutkan tayangannya selama dua minggu lagi di Singapura.

Filem berkenaan turut dirancang untuk ditayangkan di Malaysia dan China dalam masa terdekat.

Tayangan perdana itu mendapat sokongan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura.

Exit mobile version