KOTA KINABALU: Sebuah penempatan melibatkan kira-kira 150 buah rumah berhampiran Taman Botani Tun Fuad Stephens di Bukit Padang di sini akan diurus serta dibangunkan sebagai Kampung Botani DBKK, selaras usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mentransformasikan kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan mampan dalam bandar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga menteri bertanggungjawab terhadap DBKK, Datuk Joniston Bangkuai berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memperkasa konsep bandar hijau serta memperluas penawaran produk pelancongan bandar yang berasaskan komuniti.
Menurutnya, kawasan tanah berkenaan adalah milik DBKK, manakala rumah-rumah yang terdapat di kawasan itu merupakan milik penduduk tempatan Sabah.
“Penduduk yang memiliki rumah di kawasan ini dibenarkan untuk terus menetap, namun tertakluk kepada pematuhan garis panduan pembangunan yang ditetapkan oleh DBKK bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang, lestari dan selaras dengan konsep Kampung Botani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Kampung Botani DBKK di sini, Rabu.
Turut hadir ialah Mayor DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong.
Joniston berkata, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kampung Botani DBKK merupakan langkah penting bagi memastikan perancangan pembangunan kawasan berkenaan dilaksanakan secara sistematik dengan penglibatan aktif komuniti setempat sebagai rakan strategik DBKK.
“Kawasan ini mempunyai potensi besar untuk menyokong agenda bandar hijau Kota Kinabalu, selain memperkukuh penawaran ekopelancongan bandar yang lebih tersusun melalui konsep Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Tourism, CoBT).
“Kampung Botani DBKK akan berfungsi sebagai tarikan ekopelancongan dalam bandar, sekali gus melengkapkan pelan komprehensif DBKK untuk membangunkan lebih banyak produk pelancongan di Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan bandar, malah memperkasa penduduk setempat sebagai pemegang taruh utama dalam usaha pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan sumber secara mampan.
Dalam pada itu, Joniston berkata, peningkatan kemasukan pelancong, termasuk ketibaan kapal persiaran yang singgah dalam tempoh singkat di Kota Kinabalu, menuntut penyediaan lebih banyak tarikan pelancongan dalam bandar yang mudah diakses oleh pelawat. “Dengan adanya produk pelancongan bandar seperti Kampung Botani DBKK, pelancong yang singgah untuk tempoh singkat tetap berpeluang menikmati pengalaman ekopelancongan dan komuniti tanpa perlu bergerak jauh ke luar bandar,” katanya.
–TAMAT

