PUTATAN: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Tanjung Keramat, Datu Duarin Harris melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan pendirian untuk terus menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi bertarikh 15 Oktober 2025 yang dikemukakan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan melalui Setiausaha Agung parti, Datuk Edward Linggu.
“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian STAR Tanjung Keramat, DUN Putatan berkuat kuasa 15 Oktober 2025. Semua Ahli Jawatankuasa Bahagian turut melepaskan jawatan masing-masing serta-merta,” katanya dalam surat tersebut.
Duarin turut merakam penghargaan kepada Dr Jeffrey atas kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau menerajui bahagian itu sejak 2021, serta menegaskan komitmennya untuk kekal menyokong perjuangan GRS di bawah kepimpinan Hajiji.
Keputusan Duarin dan seluruh barisan kepimpinan bahagian untuk melepaskan jawatan dilihat sebagai tamparan kepada STAR, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Langkah ini turut mencerminkan perkembangan dalaman STAR apabila beberapa pemimpin sebelum ini memilih untuk meninggalkan parti, tetapi tetap bersama GRS kerana yakin dengan hala tuju kepimpinan Hajiji yang memberi tumpuan kepada kestabilan politik, perpaduan negeri dan kesinambungan pembangunan rakyat.
Menurut sumber, tindakan ini dijangka memberi kesan terhadap kekuatan STAR di peringkat akar umbi, namun pada masa sama memperkukuh kedudukan GRS menjelang PRN.
