KIULU: Usaha pendigitalan data pelancongan, khususnya di kawasan luar bandar Sabah, kini menjadi tonggak penting bagi membolehkan sektor itu dirancang secara lebih strategik, tersusun dan berasaskan bukti sebenar di lapangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pengumpulan data pelancongan secara digital bukan sekadar meningkatkan kaedah perekodan maklumat, malah membuka dimensi baharu dalam memahami corak dan potensi sebenar pelancongan berasaskan komuniti.
“Data yang tepat dan menyeluruh amat penting untuk melihat realiti sebenar industri pelancongan luar bandar. Ia memastikan setiap kehadiran pelancong direkodkan secara sistematik, sekali gus membantu kerajaan dan pemain industri merancang pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kiulu Adventure Challenge (KAC) edisi keenam di Dewan Terbuka Pekan Kiulu, di sini, pada Ahad.
Joniston berkata kejayaan projek perintis pendigitalan data pelancongan di Kiulu membuktikan bahawa teknologi mampu meningkatkan kecekapan pengurusan pelancongan luar bandar dan wajar diperluaskan ke daerah lain di seluruh Sabah.
“Melalui penggunaan data, kita dapat mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian khusus serta menentukan keutamaan pelaburan bagi memperkembangkan industri pelancongan luar bandar secara mampan.
“Inisiatif ini juga adalah hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA), yang membolehkan pemahaman lebih mendalam terhadap pola pelancong serta memperkukuh strategi promosi dan perancangan jangka panjang,” katanya.
Mengulas penganjuran KAC, Joniston yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri berkata acara berkenaan bukan sekadar sukan pengembaraan, sebaliknya berperanan besar sebagai pemangkin pembangunan pelancongan luar bandar Sabah di mata dunia.
“Kiulu sudah lama dikenali sebagai model pelancongan berasaskan komuniti. Kawasan ini turut menjalin kerjasama antarabangsa, antaranya dengan Universiti Nanhua, Taiwan dalam bidang agro-pelancongan, selain menerima lawatan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi meninjau inisiatif pelancongan komuniti di sini,” katanya.
Beliau berkata penganjuran KAC selari dengan persiapan Sabah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menekankan tiga elemen utama iaitu budaya, pengembaraan dan alam semula jadi di bawah tema “Explore Sabah.”
Kiulu Adventure Challenge menggabungkan acara berbasikal lasak, larian denai dan berakit air, sekali gus mempromosikan keindahan semula jadi Kiulu serta membuka peluang pemerkasaan komuniti setempat dan pembangunan ekonomi luar bandar.
Acara itu menampilkan cabaran berbasikal lasak sejauh 30 kilometer, larian denai 11 kilometer dan berakit air sejauh tiga kilometer. Bagi kategori individu, peserta mengharungi berbasikal lasak 30 kilometer dan larian denai 11 kilometer, selain kategori larian santai sejauh enam kilometer.
Kategori berpasukan pula melibatkan tiga peserta dengan gabungan cabaran berbasikal lasak 30 kilometer, larian denai 11 kilometer dan berakit air tiga kilometer bagi kategori lelaki serta campuran.
Lebih 700 peserta dari Malaysia, Indonesia, Australia dan Brunei Darussalam menyertai acara itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kiulu sebagai antara destinasi utama pelancongan pengembaraan, budaya dan sukan di Sabah.
— TAMAT

