Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Dari bandar hingga pulau, Sabah perlukan penyelesaian sisa berbeza

BERSAMA PESERTA: Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Maijol Mahap bersama jemputan serta peserta program Trash Talk to Action I: Memahami Landskap Pengurusan Sisa di Sabah, anjuran bersama IDS Sabah dan KAS Malaysia di Kota Kinabalu, Isnin.

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan pendekatan pengurusan sisa yang dirangka mengikut realiti setiap daerah, kerana cabaran yang dihadapi kawasan bandar, luar bandar, pesisir pantai dan kepulauan jauh berbeza antara satu sama lain.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata perbezaan dari segi geografi, jumlah sisa, kemudahan kutipan dan infrastruktur pelupusan menuntut penyelesaian yang lebih bersasar.

“Apabila kita bercakap mengenai masalah sisa di Sabah, sebenarnya kita berdepan dengan beberapa realiti dan cabaran yang berbeza.

“Penyelesaian untuk kawasan bandar yang menghasilkan ratusan tan sisa sehari belum tentu sesuai bagi komuniti di pulau, luar bandar atau kawasan yang masih menghadapi kesukaran mendapatkan perkhidmatan kutipan sisa secara teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Trash Talk to Action I: Memahami Landskap Pengurusan Sisa di Sabah, anjuran bersama IDS Sabah dan h, di sini, Isnin.

Azizah berkata, antara contoh paling ketara ialah tapak pelupusan Kayu Madang yang menampung sisa dari Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Belud, dengan kira-kira 800 tan sisa diterima setiap hari.

Tapak seluas kira-kira 115 ekar itu dilaporkan semakin menghampiri kapasiti maksimum — mencerminkan tekanan pengurusan sisa yang dihadapi kawasan bandar dan sekitarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran di daerah lain berbeza sama sekali.

Pitas, misalnya, berdepan isu pembuangan sisa secara terbuka di kawasan pesisir, manakala Semporna mempunyai cabaran pengurusan dan kemudahan pelupusan sisa di kawasan kepulauan.

Di Kunak, sampah dikenal pasti antara penyumbang kepada pencemaran marin, manakala Lahad Datu pula berdepan keperluan menyediakan kemudahan pengumpulan sisa bagi kawasan di luar lingkungan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Azizah, keadaan itu menunjukkan pengurusan sisa perlu dilihat sebagai satu rantaian menyeluruh — bermula daripada pengurangan dan pengasingan sisa di peringkat isi rumah dan komuniti, sistem kutipan yang teratur, pengangkutan dan pemprosesan, sehinggalah pelupusan akhir.

Azizah berkata, IDS mempunyai pengalaman dalam isu berkenaan menerusi pembangunan Kerangka Dasar Pengurangan Plastik di Tuaran pada 2025.

Beliau berkata, pengalaman itu menunjukkan penglibatan komuniti dan kepimpinan tempatan amat penting dalam mengurangkan jumlah sisa sebelum ia memasuki sistem pelupusan.

Sehubungan itu, mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan bagi meningkatkan kesedaran serta amalan pengasingan dan pengurusan sisa di peringkat akar umbi.

“Kita tidak semestinya perlu mewujudkan mekanisme baharu. Sebaliknya, prosedur dan garis panduan dalam mekanisme sedia ada perlu diperkukuhkan supaya masyarakat memahami peranan masing-masing,” katanya.

PENGHARGAAN: Azizah (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Maijol pada program Trash Talk to Action I di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Azizah menyambut baik penerokaan teknologi baharu dalam pengurusan sisa, termasuk cadangan kemudahan biogas di Kayu Madang yang berupaya menukarkan gas metana kepada tenaga elektrik sehingga dua megawatt.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah sekiranya asas sistem pengurusan sisa masih lemah.

Menurutnya, teknologi perlu disokong oleh sistem kutipan yang cekap dan konsisten, data yang lengkap, pengasingan serta kitar semula yang berkesan, dan pembahagian tanggungjawab yang jelas antara institusi berkaitan.

Beliau berharap program Trash Talk to Action menjadi asas kepada perbincangan seterusnya mengenai tadbir urus, penyelarasan institusi serta pembangunan sistem pengurusan sisa yang lebih bersepadu dan sesuai dengan realiti Sabah.

“Daripada Trash Talk kepada tindakan, kita bukan sekadar bercakap mengenai sampah, tetapi bagaimana membina Sabah yang lebih bersih, mampan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” katanya.

Program berkenaan menghimpunkan wakil agensi kerajaan, PBT, ahli akademik, penyelidik, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Maijol Mahap, mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Exit mobile version